Anda di sini

Program diploma untuk 88 sekolah vokasional

Advertisement

KUCHING: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan program diploma untuk 88 sekolah jenis vokasional di seluruh negara sebagai langkah mentransformasikan sistem pendidikan di negara ini.

Bagaimanapun, program perintis transformasi itu telah dijalankan di 16 sekolah termasuk Kolej Vokasional (KV) Kuching sebagai bahan kajian pihaknya.

Menurut Pengarah Kolej Vokasional (KV) Kuching Flora Imor Phillips, pihaknya dijadikan bahan kajian makmal sejak 2012 ketika kali pertama pelaksanaan program terbabit.

“Kami adalah sekolah yang pertama di Sarawak yang telah diarahkan KPM bagi melaksanakan program baharu ini dan 15 lagi di negeri-negeri lain di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas berucap pada Majlis Pengambilan Pelajar Baharu KV Kuching di sini semalam.

Pihak KV Kuching menawarkan program diploma tahap 1, 2 3 dan 4 untuk lapan jenis kursus iaitu Seni Kulinari, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Pemesinan Industri, Teknologi Elektrik, Teknologi Elektronik, Teknologi Automotif serta Fesyen dan Pembuatan Pakaian.

Jelas Flora, pelajar yang ditawarkan masuk ke program diploma adalah pada tahun keempat dengan cara pembelajaran secara ‘hands-on’, kerja kursus dan diakhiri dengan satu ujian.

“Dari situ, dengan diploma yang ada mereka boleh terus memohon insitusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Melaka bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya.

KPM sebelum ini ujarnya, telah mencapai kata sepakat dengan mengadakan MoU dengan insitusi pegajian tinggi tempatan.

“Sudah tentu syaratnya mereka perlu lulus dan kita masih boleh menyimpan polisi kita yang bertepatan dengan kriteria yang ditetapkan MQA dengan evaluasi bagi mendapat akreditasi daripada pihak kami.

“Kalangan tenaga pengajar, iaitu pensyarahnya juga telah dinaik taraf dengan sekurang-kurangnya kemahiran tahap 3 bagi mengajar pelajar-pelajar KV Kuching.

“Kami sudah buat banyak pembaharuan dan struktur organisasi juga berubah… banyak yang telah kami jalankan di sini,” tambahnya.

Dianggarkan seramai 250 pelajar hadir untuk sesi ambilan Januari 2014, semalam.

Flora juga menambah, pelajar sesi pertama 2012 akan menamatkan pengajian pada 2016 akan datang.

Sementara itu, sebanyak 2,312 pelajar lepasan PMR telah mendaftar secara on-line dan permohonan rayuan masih dibuka dengan mengisi borang di pejabatnya yang terletak di Batu Lintang di sini.

Pihak KV Kuching pernah dianugerahkan johan dalam pertandingan Taylor’s National Culinary Challenge 2012, Anugerah Perak Pertandingan Inovasi Kategori Produk Pelajar SMT/SMV/KV Peringkat Kebangsaan 2012.

Pihaknya juga pernah menerima Anugerah MPC untuk pengurusan amalan 5S 2012, Anugerah Perak Pertandingan Pengajaran Dalam Pembelajaran Peringlat Kebangsaan 2013 (kategori guru), 10 terbaik Pertandingan Reka Cipta Video, Liga Remaja Kreatif SKMM dan mendapat tawaran baharu Pengetua dan Guru NKRA 2011.

Advertisement