Anda di sini

Penduduk mendambakan jalan raya di Pulau Bruit

Advertisement

MUKAH: Penduduk Kampung Tekajong berharap jaringan jalan raya dibina di Pulau Bruit yang menghubungkan Kampung Kut bagi memudahkan pergerakan mereka ke kawasan tersebut.

Difahamkan, perjalanan dari Pulau Bruit ke Kampung Kut mengambil masa yang panjang dan terpaksa melintasi jalan kawasan ladang yang rosak teruk.

Penduduk Kampung Tekajong Zainal Abidin Murni, 46, memberitahu bahawa perjalanan dari Pulau Bruit menuju ke Kampung Kut, Daro mengambil masa dua jam.

Katanya kebanyakan penduduk Kampung Tekajong terpaksa menggunakan bot untuk ke Kampung Kut kerana ia lebih menjimatkan masa mereka menuju ke kampung terbabit.

Zainal berkata, jalan raya di Pulau Bruit dari Kampung Kut amat diperlukan oleh penduduk di kawasan itu terutama pada musim tengkujuh dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Keadaan cuaca tidak menentu menyukarkan penduduk di Kampung Tekajong dan kami memilih sungai untuk ke Kampung Kut dan semestinya keselamatan kami juga tidak terjamin.

“Saya sebagai penduduk di kawasan ini merasakan bahawa jalan raya menghubungkan kawasan ini perlu dibina untuk memudahkan pergerakan penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Hasipah Sunai, 34, memberitahu bahawa jalan raya dari Pulau Bruit ke Kampung Kut amat diperlukan oleh penduduk di kawasan tersebut.

Katanya jalan raya menuju ke Pulau Bruit terlalu teruk kerana masih jalan pasir dan tanah serta tidak ada cabang  jalan raya lain di kawasan tersebut.

“Penduduk di Kampung Tekajong terpaksa menggunakan bot untuk ke Kampung Kut kerana lebih dekat berbanding jalan darat dengan keadaan jalan yang teruk dan becak,” katanya.

Mohamad Sakil, 36, berkata jalan raya di Pulau Bruit perlu dibina kerana apabila keadaan sungai bergelora maka kemudahan jalan darat amat diperlukan.

“Jika tidak ada jalan raya memang susah kerana bila keadaan laut bergelora penduduk sangat memerlukan jalan darat untuk ke Kampung Kut, lebih-lebih lagi bilangan penduduk di kawasan tersebut semakin ramai,” katanya.

Advertisement