Anda di sini

Pendidikan berasaskan kemahiran semakin mendapat sambutan

Advertisement

KUCHING: Pendidikan berasaskan kemahiran semakin mendapat sambutan daripada pelajar di negeri ini selain menjadi pengenalan kepada keusahawanan di kalangan belia muda.

Jasmin Humairah Ng, 17, yang sudah memasuki tahun kedua pengajiannya dalam bidang automotif di Kolej Vokasional (KV) Kuching di sini memberitahu bahawa beliau bercita-cita ingin membuka garaj membaiki kereta.

Hasratnya itu dikongsi bersama adiknya Haris Taufik Ng, 16, yang baharu berdaftar semalam bagi bidang kursus yang sama.

“Ibu bapa kami memang memberi sepenuh sokongan, lagipun ini sudah menjadi sebati dengan darah kami kerana ayah juga membuka kedai menjual alat ganti bagi perkakasan pertanian di Kota Sentosa,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau turut meminati bidang kimpalan dan berhasrat untuk mempelajari bidang itu selepas ini.

Sementara itu, M. Izzuddin Iqbal Mohammad Yusoff, 16, bekas pelajar SMK Seksyen 27, Selangor gembira diterima masuk ke KV Kuching.

“Walaupun minat pada Teknologi Elektronik dan dimasukkan pula ke kursus Pemesinan Industri hari ini (semalam) saya tidak rasa terkilan.

“Rasa seronok kerana dapat bersekolah dekat dengan nenek di Kampung Bintangor, Kuching,” jelasnya.

Bapanya, Mohammad Yusoff Mohd Rashid, 41, pula meluahkan rasa bangga terhadap anak sulungnya itu.

Katanya walaupun beliau terpaksa berulang-alik Selangor-Sarawak untuk melihat anaknya tetapi beliau merasakan ia adalah cara terbaik untuk anaknya mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Advertisement