Anda di sini

Kontraktor temui sebutir bom lama

Advertisement

IPOH: Seorang kontraktor menemui sebutir bom lama ketika sedang melakukan kerja mengorek pasir di kawasan pengumpulan pasir di Gunung Cheroh berhampiran Sungai Kinta di sini semalam.

Lelaki yang enggan dikenali itu berkata dia memaklumkan perkara itu kepada polis selepas menemui bom berkenaan pada jam 11 pagi.

“Pada mulanya saya menyangka itu adalah besi lama berdasarkan bunyi besi yang kedengaran ketika kerja mengorek pasir sedang dijalankan. Apabila saya lihat betul-betul ia adalah sebutir bom lama,” katanya kepada pemberita.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom itu yang dikenali sebagai ‘Artillery Shell’ sepanjang 56 sentimeter dan lebar 49 sentimeter.

“Bom berkenaan berkarat dan tidak mempunyai fius. Ia telah dimusnahkan dengan bantuan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada jam 4.20 petang tadi (semalam),” katanya. — Bernama

Advertisement