Anda di sini

Kes bunuh: Polis cari empat lelaki Myanmar

Advertisement

ROMPIN: Empat lelaki warga Myanmar dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga Myanmar di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Kasing, Pianggu di sini pada November 2011.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin ASP Mohd Razali Razak berkata dua daripada mereka ialah suspek utama dan dua lagi merupakan saksi kes itu, yang perbicaraannya dijadual pada 27 hingga 30 Jan ini di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Beliau berkata dua saksi itu, yang dikenali sebagai Tun Kyaa Ling@ Tun Kyaw Hlaing dan Htwe Hla, merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan pernah bekerja sebagai nelayan di Tanjung Gemok.

Dua suspek pula dikenali sebagai Khin Than Maung dan Khin Tin Maung, berusia 30-an, dan merupakan adik-beradik, katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mereka supaya menghubungi pihak polis.

Pada 20 Nov 2011, Soe Myint, 28, ditemui mati dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kasing dengan beberapa kesan tetakan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

Advertisement