Anda di sini

Caj tambahan RM3 berpatutan, kata Abdullah

Advertisement

KUCHING: Caj tambahan sebanyak RM3 dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) kepada penonton mem­buat tempahan tiket perlawa­nan bola sepak atas talian adalah untuk caj pengurusan.

Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata caj tambahan yang dikenakan itu adalah minimum dan berpa­tutan.

Malah, beliau memberitahu penonton yang membuat pem­belian tiket atas talian diberi jaminan sepenuhnya menda­patkan tiket.

“Caj tambahan RM3 setiap satu transaksi yang dikenakan ini adalah untuk pengurusan tiket dan mereka yang telah membuat tempahan tiket atas talian ini diberi jaminan bahawa mereka pasti mendapatkan tiket perlawanan,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Stadium Negeri, di sini semalam.

Namun, Abdullah memberi­tahu bagi penonton yang tidak mahu dikenakan caj tambahan itu boleh membuat pembelian tiket seperti biasa.

“Satu lagi saya hendak jelaskan kerana ramai mereka bertanya mengapa tidak di­cetakkan sahaja tiket ini dan mengapa perlu berbaris untuk mengambil tiket.

“Kita tertakluk kepada per­aturan di mana tiket-tiket yang dijual di stadium hendaklah di cetak oleh FAM dan kita tidak mempunyai alat pengimbas di stadium yang menjadikan kita terdedah kepada tiket-tiket palsu.

“Sebagai contoh, saya mem­buat barisan untuk beli tiket di stadium tetapi saya belum tentu dapat tiket itu berbanding kita yang telah membuat tempahan atas talian dengan pengesahan menggunakan kad pengenalan atau cetakan di mana kita men­jaminkan anda pasti mendap­atkan tiket,” jelasnya.

Selain itu, Abdullah turut menasihatkan agar penonton tidak membawa dan mem­bakar sua di dalam stadium sewaktu atau selepas tamat perlawanan.

Tegasnya, penonton yang didapati membawa dan mem­bakar sua di dalam stadium akan dikenakan tindakan se­wajarnya kerana perbuatan itu merugikan persatuan bola sepak negeri.

“Kita mengadakan kerjas­ama dengan polis dan RELA untuk membendung gejala ini,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu pihaknya juga menyediakan dua tempat kecemasan tambahan di zon A dan B di stadium bagi memudahkan penonton men­dapatkan perkhidmatan kece­masan.

“Sebelum ini, tempat kece­masan hanya di satu lokasi sa­haja dan dengan penambahan dua lokasi penonton tidak perlu berlari ke padang mendapatkan perkhidmatan kecemasan,” katanya.

 

Advertisement