Anda di sini

Bayi baharu dilahirkan ditinggal di tepi rumah

ALOR SETAR: Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di tepi sebuah rumah di Kampung Sungai Sebatang, Jalan Kuala Kedah di sini, awal pagi semalam.

Tangisan bayi itu akibat digigit nyamuk mengejutkan seorang pelajar tingkatan lima, Normawani Ahmad, 17, yang sedang tidur di tingkat atas rumah dua tingkat kira-kira jam 3 pagi.

“Saya terkejut mendengar suara tangisan yang agak hampir dengan rumah dan bunyi orang berjalan lalu membuka tingkap bilik dan ternampak seorang bayi ditinggalkan dalam keadaan berbogel atas plastik warna merah,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Menurut Normawani dia memberitahu ibunya, Harison Shafie, 50, yang tidur di rumah kakaknya bersebelahan rumah mereka mengenai bayi itu.

“Semasa mengambilnya kami tidak menemui sebarang nota tetapi terdapat kesan darah dan najis pada badan bayi manakala badannya kebiruan dan terdapat banyak kesan gigitan nyamuk.

“Ibu saya membersihkan dan memakaikan dia dengan baju anak saudara saya sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan,” kata Normawani yang bersyukur bayi itu selamat dan tidak menjadi mangsa anjing liar yang kerap berkeliaran di kawasan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan yang dihubungi mengesahkan penemuan bayi itu dan kini berada di HSB untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya polis sedang mengesan ibu bapa bayi tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. — Bernama