Anda di sini

70 delegasi seluruh dunia hadiri persidangan AMAES di Curtin Sarawak

Advertisement

MIRI: Seramai 70 delegasi dari seluruh dunia kini berkampung di Curtin University Kampus Sarawak (Curtin Sarawak) di sini, untuk menghadiri persidangan antarabangsa berkaitan sains dan matematik.

Persidangan Analysis and Mathematical Applications in Engineering and Science (AMAES), yang diadakan bermula 19 hingga 22 Januari ini, telah dirasmikan oleh Pro Naib Canselor Curtin Sarawak Profesor Jim Mienczakowski, pagi semalam.

Persidangan selama empat hari itu yang berlangsung di Institut Penyelidikan Curtin Sarawak (CSRI) di universiti berkenaan, menyaksikan sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan, termasuk ucaptama oleh Joseph Frederic Bonnans daripada Politeknik Ecole Paris, Perancis dan Helmut Maurer daripada Institute for Computational and Applied Mathematics, Munster University, Jerman.

Sementara itu, Prof Jim dalam ucapannya memberitahu bahawa persidangan tersebut memberi peluang kepada semua delegasi yang hadir untuk berkongsi inovasi, penyelidikan dan kaedah yang dipratikkan oleh mereka.

“Pada masa yang sama, saya berharap persidangan ini akan membentuk rangkaian atau jaringan dan kerjasama penyelidikan yang baharu di kalangan peserta termasuk dengan pihak kami di sini (CSRI),” katanya.

Menurut Prof Jim lagi, persidangan tersebut juga bertujuan menyediakan forum bagi para jurutera, pengamal dan pakar matematik serta ekonomi untuk bertukar pandangan dan pendekatan di samping menyampaikan penemuan penyelidikan mereka serta penyelesaian yang ditemui.

“Malah persidangan ini memberi ruang kepada para pengamal dan pakar dalam bidang berkaitan berkongsi pengalaman mereka dengan kita mengenai potensi dan had serta arah tuju yang baharu dalam penyeldikan dan pembangunan, serta isu-isu dan topik berkaitan analisis dan pengaplikasian matematik dalam kejuruteraan dan sains,” tambahnya.

Mengenai penyertaan CSRI yang julung kalinya menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa AMAES kali ini, Prof Jim berkata ia adalah satu penghormatan kepada Curtin Sarawak dan hasil daripada kejayaan-kejayaan persidangan sebelum ini yang melibatkan penyertaan CSRI, sekali gus membantu memperkenalkan CSRI dalam usaha sama di antara Curtin Sarawak dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

“Persidangan ini amat bertepatan dengan komitmen universiti ini, yang mahu diiktiraf sebagai pemimpin dalam pendidikan dan penyelidikan, sekali gus meletakkan Curtin Sarawak dan bandar raya Miri di atas peta bagi kerjasama dalam bidang teknologi canggih dan inovasi dengan para saintis di seluruh dunia,” jelas beliau lagi.

Advertisement