KUCHING: Kesepakatan telah dicapai oleh negara-negara ASEAN untuk memperkenalkan Standard Hotel Hijau ASEAN bagi menyokong amalan hijau dalam industri pelancongan.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata standard ini merangkumi pelan alam sekitar, produk-produk hijau, pengurusan persekitaran dan sumber manusia yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran.
Program Hotel Hijau ASEAN ini juga katanya, dilihat sebagai salah satu inisiatif bagi menyokong usaha ASEAN membangunkan Pelan Strategik Ekopelancongan ASEAN yang mempromosikan tanggungjawab pelancongan dan amalan hijau dalam industri pelancongan.
“Hotel Hijau merupakan hotel yang mesra alam dan mengadaptasi pendekatan pemuliharaan tenaga serta penggunaan sumber yang lestari.
“Sekarang ini, terdapat peningkatan permintaan daripada pelancong untuk hotel-hotel yang mengadaptasi amalan hijau.
“Malah kajian mendapati peningkatan permintaan ini lebih tinggi berbanding penyediaan hotel-hotel hijau.
“Menyedari trend global ini, maka ASEAN telah membuat keputusan untuk membangunkan Standard Hotel Hijau ASEAN yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran menerusi pendekatan operasi yang profesional,” katanya.
Nazri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Hotel Hijau ASEAN 2014 yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini semalam sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2014.
Sebanyak 86 hotel daripada 10 negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam menerima anugerah tersebut.
Turut hadir pada majlis bermakna itu semalam, Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri-menteri Pelancongan ASEAN serta kira-kira 250 tetamu jemputan.
Terdahulu dalam ucapannya, Nazri mengalu-alukan kedatangan delegasi ke majlis anugerah yang diadakan sempena ATF 2014 di bandar raya ini.
Beliau turut memberi penghargaan kepada Menteri Pelancongan Sarawak atas kerjasama erat dan sokongan kuat bagi menganjurkan majlis anugerah kali ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli negara-negara ASEAN termasuk urus setia ASEAN atas sokongan penuh kepercayaan untuk Malaysia sebagai penganjur majlis anugerah bagi 2014.
“Kejayaan acara ini merupakan hasil kerjasama strategik antara ASEAN dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia termasuk Kerajaan Negeri Sarawak,” ujarnya.