Anda di sini

Rakyat Malaysia disahkan maut dalam serangan di Kabul

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia disahkan terbunuh dalam serangan berani mati di sebuah restoran di Kabul, Afghanistan Jumaat lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang mengesahkan perkara itu berkata maklumat rasmi berhubung latar belakang mangsa hanya dapat dikeluarkan setelah saudara terdekat mangsa dimaklumkan mengenainya.

“Buat masa ini Wisma Putra sedang dalam proses menghubungi ahli keluarga terdekat mangsa,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Dalam kejadian serangan berani mati dan tembakan rambang di sebuah restoran di ibu negara Afghanistan pada Jumaat, sekurang-kurangnya 21 orang dilapor terbunuh termasuk empat kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi berita AFP melaporkan rakyat Malaysia yang terkorban itu bertugas sebagai perunding kepada Kementerian Kewangan Afghanistan.

Sementara itu, mengulas mengenai dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden untuk siasatan kerana memukul tangan seorang daripada anak yang tidak bersolat, Anifah berkata belum ada perkembangan terbaharu mengenai perkara itu.

“Tahanan reman dilanjutkan, jadi ia tertakluk kepada mahkamah di sana. Kami telah lakukan apa yang boleh tertakluk kepada peraturan dan undang-undang mereka.

“Di Wisma Putra kami perlu mengikut saluran tertentu (dalam mengambil sesuatu tindakan),” katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan di sini berkata pengesahan mengenai kematian rakyat Malaysia dalam serangan pengganas di Kabul itu disampaikan melalui Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.

Ini kerana Kedutaan British di Kabul menjalankan tanggungjawab sebagai konsular untuk rakyat negara Komanwel yang tidak mempunyai perwakilan di Afghanistan.

Kenyataan itu berkata identiti rakyat Malaysia itu tidak dapat didedahkan buat masa ini, sebelum mendapat persetujuan daripada pasangannya yang kini bekerja di Liberia.

“Kementerian kini mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan untuk mengesan keluarga mangsa yang tinggal di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Taliban mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan pengganas itu sebagai membalas dendam atas serangan udara di sebuah perkampungan di utara Kabul pada 15 Jan yang menyebabkan beberapa orang awam Afghanistan cedera. — Bernama

Advertisement