Anda di sini

Penduduk bantah pembinaan kondominium mewah berhampiran kawasan perumahan

BUKIT MERTAJAM: Sekumpulan penduduk lima taman perumahan di sini menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan pembinaan sebuah kondominium mewah dan projek perumahan baharu berdekatan kediaman mereka yang didakwa boleh mendatangkan masalah serius kepada penduduk setempat.

Kedua-dua projek itu, yang dibina berdekatan Taman Sri Bukit Indah, Taman Bukit Indah, Taman Sentosa, Taman Bukit Mas dan Taman Bukit Ria, didakwa akan menjejas bekalan air selain mengancam keselamatan masyarakat setempat.

Pengerusi Rukun Tetangga Taman Sri Bukit Indah, Thomas Deevah, mendakwa kondominium 27 tingkat itu tidak sesuai dibina di kawasan itu kerana penghuni pangsapuri kos rendah dan teres berdekatan berdepan risiko keretakan konkrit serta dinding rumah.

“Kami juga berdepan masalah tekanan air rendah, terutama pada waktu puncak, kerana perumahan baharu di sini turut menggunakan tangki bekalan air yang sama.

“Kapasiti tangki air sedia ada tidak cukup kerana kami terpaksa berkongsi dengan penduduk perumahan baharu itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman membantah cadangan pembinaan kondominium mewah itu semalam.

Thomas juga berkata Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) seharusnya memastikan setiap pemaju menyediakan tangki bekalan air di setiap perumahan baharu yang dibina terlebih dahulu sebelum meluluskan sesuatu projek itu.

Beliau berkata sebelum ini, pihaknya menghantar surat kepada MPSP dan PBAPP namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.

Sementara itu, seorang wakil penduduk, Michael Tan, 74, mempersoal tindakan kerajaan negeri membenarkan projek bangunan tinggi di kawasan berhampiran lereng bukit dan hutan simpan yang terletak tidak jauh dari taman perumahan berkenaan.

Beliau berkata bangunan tinggi bukan sahaja mencemar keindahan hutan simpan malah merosakkan topografi lereng bukit.

“Kami kecewa kerana kerajaan negeri boleh meluluskan projek pembinaan kediaman bertingkat di kawasan lereng bukit dan berdekatan dengan Hutan Lipur Cherok To’kun. — Bernama