Anda di sini

Kerjasama penting untuk membawa industri pelancongan kepada trend ekopelancongan

Advertisement

KUCHING: Kerjasama antara negara ASEAN penting untuk membawa industri pelancongan di rantau ini kepada trend baharu yang menjurus kepada ekopelancongan.

Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ini kerana negara-negara ASEAN termasuk Malaysia mempunyai banyak sumber ekopelancongan yang dapat dikongsi bersama.

“Mengikut Organisasi Perdagangan Dunia (WTO), di seluruh dunia nampaknya ada peralihan dalam industri pelancongan, dalam jangkauan pasaran antarabangsa sudah ada trend yang menjurus kepada ekopelancongan.

“Negara-negara ASEAN kaya dengan sumber ekopelancongan, standing dengan yang ditawarkan negara-negara Afrika Tengah, Amerika Tengah (Amazon) dan Kenya (Afrika).

“Maknanya kalau sudah ada trend ini, Malaysia boleh memainkan peranan menarik minat terhadap produk-produk baharu berkisarkan biodiversiti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada hari ketiga Forum Pelancongan ASEAN (ATF) di sini semalam.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hadir mewakili negara pada mesyuarat yang berlangsung secara tertutup itu.

Beliau menambah, kerjasama antara negara ASEAN dalam ekopelancongan diyakini dapat dieratkan lagi menerusi penganjuran ATF 2014 kerana ia menyediakan platform kepada negara-negara berkongsi idea dan kepakaran dalam sektor berkenaan.

Mesyuarat dihadiri negara-negara ASEAN dan rakan di Asia Tenggara termasuk China, Jepun, Korea dan lain-lain.

Abang Johari menjangkakan Malaysia dan Sarawak khasnya menjadi destinasi baharu dalam perkembangan pelancongan di rantau ini.

Selain itu, katanya kerjasama antara negara ASEAN perlu untuk menyelesaikan masalah penerbangan membabitkan negara berkenaan kerana ia antara faktor menyumbang kepada pembangunan pelancongan di ASEAN.

Sebagai contoh katanya, ketika ini Sarawak bekerja sama dengan syarikat penerbangan Brunei Darussalam, Royal Brunei Airline (ARB) dan syarikat-syarikat penerbangan lain yang melakukan penerbangan ke Miri dan terbaharu AsiaJazz iaitu penerbangan terus dari Manila ke Miri seterusnya ke Taman Negara Mulu.

“Kami menjalinkan kerjasama dengan Brunei Darussalam berdasarkan konsep ‘menang-menang’ dengan Brunei.

“Kami juga telah meminta MAS dan syarikat penerbangan lain agar menawarkan penerbangan terus dari Kuching ke China kerana kita menjangkakan kedatangan pelancong dari negara itu ialah sekitar 82 juta orang,” jelasnya.

Mengenai ATF, Abang Johari berkata ia merupakan pembuka tirai kepada Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Sarawak secara kebetulan juga mempromosikan Tahun Melawat Sarawak 2014.

Ini disebabkan Sarawak ketika ini meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-50 Dalam Malaysia.

“Kita amat mengalu-alukan keputusan kerajaan persekutuan untuk mengadakan ATF di Bumi Kenyalang ini, kerana secara kebetulan kita juga mempromosikan Tahun Melawat Sarawak 2014,” katanya.

Advertisement