Anda di sini

Jangan salah guna Internet untuk cerca orang: Jailani

Advertisement

HULU TERENGGANU: Pengguna Internet tidak sepatutnya menyalah guna laman sosial untuk mencerca orang lain terutama pemimpin negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata pengguna Internet yang rata-rata terdiri daripada golongan bijak pandai seharusnya tidak menyiar atau membangkitkan isu-isu yang boleh menimbulkan suasana tegang di kalangan masyarakat.

“Sebenarnya jika mereka menggunakan kemudahan itu untuk mencerca orang, ia seolah-olah melabur saham untuk dosa di akhirat atas apa yang mereka lakukan, sedangkan orang yang kena cerca tidak apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas karikatur di laman sosial berhubung ‘pm kangkong’ semasa ditemui pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Pergerakan Wanita UMNO Hulu Terengganu di sini semalam.

Jailani berkata mereka yang tidak bertanggungjawab itu sebenarnya sudah tiada idea untuk menghentam kerajaan.

“Ini kerana kerajaan sudah melakukan apa sahaja untuk rakyat seperti memberi bantuan kepada semua mangsa banjir termasuk mereka yang menyokong pembangkang,” katanya.

Berhubung Jawatankuasa Pemantau Harga Barang yang ditubuhkan kerajaan, Jailani berkata jawatankuasa itu penting untuk menstabilkan harga barang supaya tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh peniaga.

“Dengan adanya jawatankuasa itu, orang ramai boleh membuat aduan jika ada peniaga menaikkan harga barang yang melampaui batas,” katanya. — Bernama

Advertisement