Anda di sini

ATF platform bincang arah tuju sektor pelancongan

Advertisement

KUCHING: Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2014 menjadi platform kepada delegasi berbincang mengenai arah tuju sektor pelancongan di rantau ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia juga menjadi landasan buat Malaysia serta Sarawak secara khususnya memperkenal serta mempromosi kekayaan tarikan pelancongannya selain bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) dan Tahun Melawat Sarawak (TMS) pada tahun ini.

Menurutnya, forum yang berlangsung selama lapan hari itu juga membuka peluang kepada sektor pelancongan di negeri ini yang diberi kepercayaan menjadi hos untuk menawarkan keunikan kebudayaan serta keaslian alam sekitar sedia ada.

Katanya ATF 2014 akan meningkatkan profil Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan selain memberi manfaat kepada industri pelancongan negeri.

“Saya mewakili industri pelancongan negara ini menyasarkan peningkatan kepada profil Sarawak sebagai tuan rumah forum dan juga Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menjadi pilihan ramai.

“Sarawak merupakan destinasi pelancongan yang mesti dilawati dengan 2.6 juta pelancong dari luar negara datang ke sini pada 2012,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan merasmikan ATF 2014 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, dekat sini, malam ini.

Antara acara utama sepanjang ATF 2014 ialah mesyuarat Ketua-ketua Organisasi Pelancongan Kebangsaan ASEAN (16-18 Januari), Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN (19-20 Januari), Pameran Pelancongan (21-23 Januari) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Persidangan Pelancongan ASEAN di BCCK serta Majlis Perasmian Penutupan ATF (23 Januari).

Selain itu, media antarabangsa yang membuat liputan datang dari Eropah, Asia, ASEAN, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Timur Tengah.

Advertisement