Anda di sini

700 pelajar dari Terengganu dijangka sertai Kuiz ASEAN 2014

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Jabatan Penerangan Negeri Terengganu menyasarkan 700 pelajar sekolah menengah berumur antara 15 hingga 17 tahun di negeri ini akan menyertai Kuiz ASEAN 2014.

Pemangku Pengarah Penerangan negeri, Mustaffa Abdul Kadir berkata ia adalah pertambahan 100 peratus berbanding penyertaan pada 2012 iaitu 355 peserta dari Terengganu.

“Saya berharap pada tahun ini, jumlahnya akan meningkat kerana dengan kerjasama pelbagai pihak terutama Jabatan Pendidikan Negeri, ia akan memudahkan lagi proses untuk pelajar menyertai kuiz ini,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Kuiz yang diadakan sekali dalam tempoh dua tahun itu akan diadakan di Vietnam pada 8 Ogos manakala pertandingan saringan pada 11 Mac, separuh akhir pada 8 April di Putrajaya dan peringkat akhir 10 April di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Penganjuran kuiz itu bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal 10 negara anggota ASEAN kepada generasi muda.

Johan akan menerima RM2,500, trofi iringan, tablet dan sijil penghargaan, naib johan (RM1,500, trofi iringan, tablet dan sijil penghargaan), ketiga (RM1,000) manakala keempat (RM750) dan kelima (RM750). — Bernama

Advertisement