Anda di sini

Tindakan mahkamah bagi peniaga ingkar

Advertisement

BINTULU: Peniaga yang melanggar akta hal ehwal dagangan dan urusan jual beli barangan di negara ini bakal dikenakan tindakan mahkamah.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Bintulu, Mohamad Drahman berkata sebelum ini kompaun bagi mana-mana peniaga atau pekedai yang melanggar tiga akta utama dalam perihal dagangan dan urusan jual beli akan dikeluarkan oleh KPDNKK.

Namun bermula 16 Januari lalu, segala tindakan undang-undang akan dipanjangkan ke mahkamah bagi menentukan bentuk kompaun yang dikenakan, katanya.

“Pihak KPDNKK seluruh negara hanya menjalankan penguatkuasaan undang-undang sahaja melalui operasi bersepadu, manakala setiap kes dirujuk ke mahkamah bagi tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops 2 di sini, pagi semalam.

Mohamad berkata, sebelum ini pegawai KPDNKK mempunyai kuasa mengeluarkan kompaun atau sebarang bentuk denda berkaitan ke atas mana-mana peniaga yang didapati bersalah melanggar akta perdagangan, namun bermula sekarang segala kes akan ditentukan oleh pihak mahkamah dalam menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh peniaga.

Secara umumnya, katanya, tiga akta digunakan bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap peniaga atau pekedai yang melanggar perihal jual beli iaitu Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan juga Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

“Dengan pengambilalihan mahkamah ke atas setiap kes yang membabitkan urusan perniagaan dan jual beli ini melancarkan urusan denda atau kompaun buat mana-mana pesalah terlibat sekali gus memperhalusi sistem undang-undang sedia ada,” ujarnya.

Mengulas mengenai Ops 2, Mohamad berkata ia merupakan kesinambungan kepada Ops 1 yang dilancarkan sejak tahun lalu.

“Ia akan diperhebatkan dari semasa ke semasa sepanjang tahun ini bagi membanteras kegiatan peniaga dan pemborong yang sengaja menaikkan harga barang terutama barangan terkawal yang sudah ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, dengan adanya penguatkuasaan undang-undang berkaitan perihal dagangan ini membolehkan nasib pembeli terjaga serta tidak dibebani dengan harga terlalu tinggi oleh peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan.

Mengenai harga sayur yang dikatakan melambung di bahagian ini sekarang, Mohamad berkata ia bersifat sementara dan pihaknya memberi jaminan bahawa harganya kembali biasa dalam masa terdekat.

“Kita semua harus maklum bahawa harga sayur-sayuran agak mahal dari kadar biasa berikutan banyak ladang sayur sama ada dari pengeluar tempatan atau luar negara rosak berikutan faktor hujan lebat dan banjir yang melanda,” jelasnya.

Advertisement