Anda di sini

Semua hospital harus mendahulukan pesakit

Advertisement

MIRI: Aktivis Masyarakat, Wan Zain Syed Mohdzar bersedia memberi kerjasama kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor berkenaan isu pesakit Sarawak yang ditolak menerima rawatan di situ.

Beliau telah menghubungi Timbalan Pengarah HSA, Dr Jamaluddin Ahmad pada Khamis lalu untuk menerangkan peristiwa sebenar yang berlaku kepada pesakit bernama Norhaironiza Hasim.

“Saya secara peribadi telah berhubung dengan Dr Jamaluddin berkenaan isu terbabit pada Khamis lalu dan telah memberi kerjasama seperti yang dimahukan pihak HSA,” katanya ketika dihubungi semalam.

Yang menjadi persoalannya, ujar beliau ialah pesakit berkenaan secara terang ditolak oleh pihak kaunter pendaftaran HSA atas alasan yang tidak kukuh sedangkan pesakit memerlukan rawatan segera.

“Sekarang bukan isu pesakit tetapi isu hak rakyat Malaysia yang memerlukan rawatan segera. Sehubungan iu, kita mahu mana-mana hospital di negara ini mendahulukan pesakit dan bukannya latar belakang pesakit,” ujarnya.

Wan Zain menjelaskan, pihak petugas kaunter hospital di negara ini perlu mengamalkan sikap profesionalisma sebagai penjawat awam dan menerima pesakit tidak mengira latar belakang.

“Negara kita mengamalkan dasar rakyat didahulukan. Justeru, kita tidak mahu kejadian yang berlaku di HSA berulang dan berlaku di mana-mana hospital di negara ini,” jelasnya.

Menurutnya, HSA harus bersikap terbuka dan menerima teguran daripada orang awam seterusnya memperbaiki mutu perkhidmatan terutamanya di kalangan pesakit.

“Kita bukan menegur untuk menjatuhkan imej hospital kerajaan tetapi niat kita hanya satu iaitu mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan seperti yang dimahukan kerajaan,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, pesakit yang juga pelajar Kolej Kejururawatan Dan Kesihatan Bersekutu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini masih berada di Sibu untuk rawatan.

Advertisement