Anda di sini

SABERKAS terbukti bukan untuk Bumiputera sahaja

Advertisement

KUCHING: Peningkatan bilangan bukan Bumiputera menyertai Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) membuktikan badan bukan kerajaan (NGO) itu bukan untuk Bumiputera sahaja.

Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia boleh dilihat berdasarkan pertambahan ahli di kalangan bukan Bumiputera dari tahun ke tahun.

Malah, menurutnya, kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan exco SABERKAS negeri dianggotai bukan Bumiputera.

“Respons daripada bukan Bumiputera terhadap SABERKAS amat positif, ini menunjukkan kita (SABERKAS) bukan parti untuk Bumiputera sahaja,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Ke-45 SABERKAS di sini, semalam.

Beliau berkata, SABERKAS akan terus berusaha untuk menambah keahlian di kalangan bukan Bumiputera pada masa akan datang.

Tambahnya, SABERKAS juga merupakan pertubuhan yang unik kerana menggabungkan kombinasi pemimpin muda dan berpengalaman.

“Gabungan ini penting untuk memastikan pimpinan kita berterusan dan sentiasa ada pengganti untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin,” ujarnya.

Mengambil dirinya sebagai contoh, Abang Johari berkata, beliau tidak akan menjadi Presiden pertubuhan sampai bila-bila.

“Saya akan diganti dan kita perlu melengkapkan ahli dengan ciri-ciri seorang pemimpin agar pertukaran kepimpinan tertinggi berjalan lancar.

“Seperti sebelum ini, saya menjawat jawatan ini (Presiden) selepas Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan begitu juga selepas ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurutnya, SABERKAS akan terus memainkan peranan utama untuk membangunkan belia di negeri ini.

“Kita mengadaptasi pelbagai pendekatan yang mengikut peredaran masa dalam usaha memacu pembangunan di negeri ini termasuk di luar bandar,” kata Abang Johari.

Hadir sama Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Lee Kim Shin, Naib Presiden SABERKAS Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Agung SABERKAS Dr Abdul Rahman Junaidi.

Advertisement