Anda di sini

SABERKAS manfaat ICT perkasa ahli

Advertisement

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) semalam memperkenalkan laman web baharu www.saberkas.org yang akan memuatkan segala informasi serta proses pendaftaran ahli secara atas talian.

Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, laman web itu akan menjadi panduan kepada ahli untuk berinteraksi dan berkongsi maklumat tentang hala tuju serta perancangan pertubuhan.

Menurutnya, pada masa sama segala aktiviti berkaitan belia yang dirancang pertubuhan itu juga akan dimuatkan dari semasa ke semasa.

“Kita akan muatkan segala informasi berkaitan pertubuhan selain rancangan berkaitan program dan aktiviti untuk memperkasa belia di negeri ini.

“Lebih menarik lagi, pendaftaran untuk ahli SABERKAS juga boleh dibuat menerusi laman web ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Ke-45 SABERKAS di sini, semalam.

Beliau berkata, laman web itu juga menunjukkan SABERKAS tidak ketinggalan daripada menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam memperkasa ahli.

“Setiap maklumat yang dimasukkan dalam laman web ini adalah terkini dan ia akan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pertubuhan itu akan menubuhkan Kelab SABERKAS di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha untuk memastikan pelajar dapat dibentuk menjadi modal insan berkualiti.

“Idea untuk melibatkan pelajar dalam SABERKAS adalah bagi merapatkan jurang antara pelajar dengan pasaran kerja,” jelasnya.

Ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi, beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan berkata, pelajar hari ini perlu dilengkapkan dengan informasi terkini tentang pasaran kerja.

“Ini kerana Sarawak dalam tempoh beberapa tahun akan datang memerlukan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang teknikal,” kata Abang Johari.

Advertisement