Anda di sini

Program ‘Mencari Ramli’ musim ketiga kini singgah di Sarawak

Advertisement

KUCHING: Program ‘Mencari Ramli’ musim ketiga kini singgah di Sarawak selama dua hari (18 dan 19 Januari) dengan Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya menjadi venue sesi pemilihan bermula semalam.

Program itu dianjurkan oleh Telekom Malaysia (TM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Akademi Bola Sepak Manchester United.

Lebih 130 pemain bola sepak remaja berusia 13 hingga 16 tahun dari Kuching, Sibu dan Miri mencuba nasib pada hari pertama yang berlangsung dengan meriah semalam.

Mereka dibahagikan kepada Kumpulan A (15-16 tahun) dan Kumpulan B (13-14 tahun).

Menurut kenyataan TM, sesi pemilihan di Sarawak adalah yang kelapan dan akan diteruskan ke Sabah (25-26 Januari), Perlis/Kedah dan berakhir di Perak.

Sebelum ini, program tersebut dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan/Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Bagi sesi di Sarawak, penganjur akan mencari seramai 44 pemain (22 bagi setiap kumpulan) yang berpotensi untuk dibawa menjalani latihan berpusat bersama pemain dari negeri lain di Universiti Mutimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya.

Di sana, mereka akan menjalani pemilihan terakhir untuk mencari 12 pemain terbaik (enam dari setiap kumpulan) sebelum dibawa ke Manchester United.

Salah seorang jurulatih berkata, pemain dipilih berdasarkan kemahiran mereka mengawal dan mengelecek bola dengan baik.

Antara kriteria lain, pemain juga perlu menunjukkan kepimpinan serta keyakinan diri sepanjang sesi pemilihan, katanya.

Advertisement