Anda di sini

Penggunaan sumber wanita dalam ekonomi masih rendah

Advertisement

MENJADI PENCETUS: Nancy (tengah) beramah mesra dengan Fasilitator Bersekutu PurpleLily selepas tamat bengkel semalam. — Gambar Jeffry Mostapha

KUCHING: Penggunaan sumber wanita dalam menyumbang kepada ekonomi negara masih rendah meskipun golongan itu mempunyai enrolmen yang tinggi di peringkat pendidikan.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang memberitahu berdasarkan Laporan Ekonomi 2013/ 2014, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia agak rendah jika dibandingkan dengan tahap pembangunan negara.

“Pada 2012, hanya 49.5 peratus wanita berumur antara 15 dan 64 tahun bekerja atau mencari pekerjaan, jauh ketinggalan berbanding negara serantau seperti Thailand (70 peratus), Singapura (58 peratus) dan Indonesia (52 peratus).

“Malah, bagi mereka yang memilih bekerja sendiri dan menyertai bidang keusahawanan, penyertaan wanita di Malaysia adalah antara terendah di rantau ini dengan hanya 19.7 peratus terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana,” ujarnya ketika ber ucap pada Majlis Perasmian ‘Purple Lily Training’ di Akademi Jabatan Hasil Dalam Negeri di sini, semalam.

Nancy turut mendedahkan 91.7 peratus daripada perniagaan tersebut melibatkan skop wanita dalam sektor perkhidmatan seperti penjagaan kanak-kanak dan pendidikan prasekolah, kecantikan dan penjagaan kulit serta latihan dan perundingan.

“Justeru, kaum wanita harus berubah, berhenti menyalahkan budaya dan mesti tahu menguasai kehidupan sendiri kerana peranan wanita semakin penting dalam ekonomi yang menjurus kepada keperluan penyertaan mereka dalam tenaga kerja dan aktiviti ekonomi negara,” tegasnya.

Jelasnya lagi, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperkasakan pembabitan wanita dalam ekonomi.

“Rancangan Malaysia Ke- 10 (RMK10) menyasarkan pembabitan golongan wanita dalam tenaga kerja kepada 55 peratus menjelang 2015.

“Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada PurpleLily kerana inisiatif murni mengadakan program ‘Training of Trainers’ (TOT) yang objektifnya untuk memperkasakan golongan wanita dalam usaha kita menuju ke arah negara maju dan memerlukan pemimpin cemerlang yang mampu mencorakkan minda masyarakat dan mengorak langkah ke hadapan,” tambahnya.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, program itu juga dapat melahirkan pemikir dalam masyarakat yang menjadi penggerak pembangunan dan pastinya menjadi aspirasi kepada kaum wanita terutama di peringkat kampung.

“Ia juga mampu melahirkan pemimpin wanita berwibawa seiring dengan sasaran dasar yang mahukan penglibatan wanita peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat mencapai sekurangkurangnya 30 peratus menjelang 2016,” katanya.

Pada program itu, seramai 29 peserta secara rasminya dilantik menjadi Fasilitator Bersekutu dari kampung-kampung di sekitar Sadong Jaya yang dilihat mampu melahirkan lebih ramai ‘Womenomics’ di kawasan luar bandar.

“Saya percaya selepas mengikuti program ini dan diberi pula tanggungjawab mengendalikan bengkel, Fasilitator Bersekutu yang terlibat menjadi lebih yakin dengan keupayaan diri dan mampu menjadi pencetus inovasi di kalangan masyarakat peringkat akar umbi khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Terdahulu, Pengasas PurpleLily Ginette Collin berkata, program itu berjaya mengadakan bengkel di 21 buah kampung melibatkan antara 260 dan 320 orang wanita setiap bulan.

“Ini memberi petunjuk positif bahawa wanita hari ini mempunyai keinginan untuk maju seiring dengan kepesatan pembangunan di sekeliling mereka,” katanya.

 

Advertisement