Anda di sini

NLAF beri akses keadilan kepada rakyat, kata Nancy

Advertisement

KUCHING: Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (NLAF) telah membantu sejumlah 140,761 orang setakat 31 Disember 2013 bagi mendapatkan bantuan guaman dari peringkat penangkapan hingga pendengaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, kejayaan bantuan guaman itu membantu memberi rakyat akses kepada keadilan kerana ramai yang tidak mampu diwakili guaman.

“Kita tidak boleh bercakap mengenai keadilan pentadbiran tanpa menyentuh mengenai akses kepada undang-undang.

“Bantuan NLAF memberi rakyat perkhidmatan undang-undang percuma pada bayaran secara minimum,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Gala Pelancaran Tahun Perundangan 2014 Sabah dan Sarawak di sini, malam kelmarin.

NLAF telah diperbadankan pada 25 Februari 2011 hasil daripada keputusan yang dibuat pada mesyuarat kabinet pada Mac 2010.

Nancy berkata, perkhidmatan ‘pro bono’ (guaman percuma) lain yang ditawarkan oleh Jabatan Bantuan Guaman (LAD) pada tahun 2013 mencatatkan 15,905 kes didaftarkan di mana 8,728 adalah kes syariah, 4,577 sivil dan 2,600 jenayah.

Beliau menegaskan, bilangan perkhidmatan nasihat guaman mencatatkan rekod tertinggi pada tahun 2013 dengan 36,593 kes berbanding 34,454 kes pada 2012.

Sementara bilangan kes dikendalikan melalui perkhidmatan pengantaraan menyaksikan peningkatan sebanyak 528 kes, iaitu 5,257 kes pada tahun 2013 berbanding 4,729 kes pada 2012.

Nancy berkata, selain pengendalian kes, LAD juga aktif menjalankan bengkel dan program ‘outreach’ dengan menawarkan perkhidmatan nasihat guaman percuma melalui pelbagai saluran seperti Klinik Bantuan Guaman 1Malaysia.

Beliau pada masa yang sama menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia mempunyai struktur perundangan yang ditubuhkan dan dihormati dan amat penting kepada pengamal perundangan supaya terlebih dahulu menghargai ‘Kesucian Mahkamah’ supaya mereka dapat mentadbir tugas sama ada sebagai pendakwa atau peguam bela berlandaskan prinsip yang ditubuhkan.

Majlis makan malam itu diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bertemakan ‘Swinging Sixties.’

Advertisement