Anda di sini

Nilai pasaran industri herba negara cecah RM29b pada 2020

Advertisement

KUCHING: Nilai pasaran industri herba negara dijangka meningkat kepada RM5 bilion tahun ini dan seterusnya mencapai RM29 bilion pada tahun 2020.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit berkata, jangkaan ketara nilai pasaran ini didorong oleh peningkatan kefahaman penduduk tempatan terhadap kepentingan perubatan berasaskan herba.

Perkembangan positif ini juga, katanya, disokong oleh pembangunan, keselamatan dan penjenamaan semula produk- produk herba tempatan.

“Kerajaan percaya bahawa herba berpotensi untuk menggerak kelestarian sektor bioekonomi negara dan diakui sebagai projek keutamaan bagi NKEA pertanian negara.

“Pada permulaannya, herba projek keutamaan (EPPI) memberi tumpuan pengkomersialan kepada lima jenis herba iaitu Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Hempedu Bumi dan Dukung Anak untuk mengeluarkan produk bernilai tinggi yang menjangkau RM2.2 bilion kepada pendapatan kasar negara (GNI).

“Kini, enam lagi spesies telah disenarai dalam projek ini iaitu Mengkudu, Roselle, Halia, Mas Cotek, Belalai Gajah dan Pegaga untuk dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10),” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pegawai Khasnya, Paul Ponar pada Program Merealisasikan Hab Herba dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

Program tersebut merupakan anjuran Pejabat Ahli Parlimen P.198 Mambong dan Agrotechs Academy dan disertai seramai 60 usahawan agrotani.

Tambah Dawos yang juga Ahli Parlimen Mambong, herba Sarawak mempunyai masa depan yang cerah berikutan perancangan untuk menjadikan herba satu lagi komoditi pertanian selain kelapa sawit.

Hal ini, katanya, berlaku seiring dengan arus pembangunan global yang mana hasil sumbangan perniagaan sektor herba dijangka berkembang kepada RM2 trilion menjelang tahun 2020.

Malah, jelasnya, pengeluaran makanan berasaskan herba akan mendatangkan pulangan 35 peratus pasaran makanan dan minuman selain mewujudkan 1,800 peluang pekerjaan, 300 pengusaha tani dan menaikkan pendapatan bagi kira-kira 1,500 peladang negara.

Menurutnya lagi, kerajaan juga telah menyenaraikan 13 herba yang mempunyai pasaran yang bertambah nilai kegunaan dan kos, antaranya Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Mas Cotek, Pegaga, Serai Wangi, Mengkudu, Asam Gelugur, Peria Katak, Temulawak, Gaharu, Medang Sarsi dan Kelapa Dara.

Bagi menyokong industri herba, katanya, kerajaan telah meluluskan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari yang akan memainkan peranan penting dalam amalan kesemua sistem perubatan Melayu, Cina dan India, naturopati dan homeopati.

Atas sebab itu, pemilihan herba sebagai suatu komoditi pertanian amat bertepatan dan kena pada tempatnya, kata Dawos.

Advertisement