Anda di sini

Legasi pemimpin terdahulu SABERKAS perlu diteruskan: Abang Johari

Advertisement

KUCHING: Legasi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) yang diperjuangkan pemimpin terdahulu dalam kemajuan negeri dan perpaduan masyarakat perlu diteruskan oleh ahli-ahlinya, terutama ahli baharu.

Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menyokong penuh penglibatan secara positif dan serius ahli-ahli baharu yang terdiri dari kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Seperti yang kita semua sedia maklum bahawa kita telah memberi impak yang sangat besar kepada golongan belia di negeri kita.

“Saya nampak akan minat di kalangan anak muda di IPT untuk sama-sama turut serta dengan apa yang dilaksanakan oleh SABERKAS.

“Justeru, rakan kita telah berusaha dengan pihak yang berkenaan dan dalam masa dua bulan kita akan mempunyai satu pertubuhan SABERKAS di UiTM dan kemungkinan juga satu lagi akan ditambah di UNIMAS,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2014 di sini, malam kelmarin.

Abang Johari berkata, ia merupakan satu pendekatan untuk meningkatkan kedudukan SABERKAS selain memperkuatkan tekad yang bakal memberi kesan positif kepada golongan belia di negeri ini.

Beliau menjelaskan, melalui usaha itu belia akan menimba pengalaman dan berinteraksi dengan para pelajar lain sekali gus memperjelaskan pendekatan yang diguna pakai dalam pembangunan belia selama ini.

Katanya, keserasian di kalangan belia penting untuk membentuk sebuah organisasi yang dihormati oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

“Lagipun, BN (Barisan Nasional) semasa satu perjumpaan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini bertanya kepada saya, bagaimana SABERKAS boleh begitu cemerlang di sini.

“Aktivis dari Semenanjung juga hairan bagaimana menteri kita yang beragama Islam boleh ke rumah ibadat Kristian bersama-sama untuk merasmikan satu acara majlis.

“Ini perkara normal yang berlaku di Sarawak dan SABERKAS perlu meneruskan usaha meneruskan perpaduan ini sampai bila-bila.

“Inilah impaknya, jika hari ini setiap sambutan kita sambut bersama untuk menunjukkan keutuhan bangsa dalam satu negeri. Maka dengan perpaduan ini juga kita dapat maju ke hadapan,” katanya.

Abang Johari, turut meluahkan rasa yakin terhadap sifat kepimpinan pemimpin belia yang akan menggalas tanggungjawab pemimpin lama SABERKAS dengan begitu jitu dan yakin.

Advertisement