Anda di sini

KPDNKK ambil tindakan terhadap 37 peniaga 1-15 Jan

Advertisement

KUCHING: Seramai 37 peniaga di Sarawak dikenakan tindakan dari 1 hingga 15 Januari tahun ini kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah akta yang diperuntukkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak Mohd Nor Musa berkata, daripada jumlah itu sebanyak 34 kes dilaporkan berlaku di Kuching dan tiga di Miri.

Menurutnya, kesemua kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Sejumlah RM181,102 nilai rampasan barang dilakukan di Kuching, manakala Miri melibatkan RM7,466,” katanya kepada pemberita selepas Ops Harga di Pasar Basah Padawan di sini, semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, kenaikan harga barangan harian seperti sayur dan ikan tidak dapat dielak kerana ia disebabkan bekalan berkurangan dan tidak mencukupi.

“Kita tetap akan memantau keadaan ini terutama bagi mereka yang memanipulasi harga.

“Namun kita sedar keadaan yang dihadapi peniaga ketika ini terutama musim monsun yang menyebabkan bekalan berkurangan.

“Kita berharap keadaan akan pulih pada bulan ini,” ujarnya.

Tambahnya, harga barangan seperti sayur di pasaran menunjukkan penurunan berbanding bulan lepas.

Sementara itu, lebih 20 pegawai penguat kuasa PPDNKK Sarawak terlibat dengan operasi semalam di mana terdapat beberapa peniaga dikenakan saman kerana tidak memaparkan tanda harga.

Advertisement