Anda di sini

Jadikan aktiviti membaca Alkitab sebagai amalan harian: Anthony

Advertisement

MIRI: Penganut Roman Katolik diingatkan agar menjadikan aktiviti membaca Alkitab sebagai amalan harian, selain bersembahyang dan berdoa memperkaya kehidupan rohani dan membimbing mereka dalam kehidupan seharian.

Biskop Diocese Roman Catholic Miri, Rt. Reverend Anthony Lee berkata pada masa yang sama dapat mendekatkan diri mereka dengan Tuhan.

“Hari ini kita memberikan 1,000 salinan Alkitab kepada yang hadir di sini. Saya menggesa penganut Roman Katolik bukan hanya membaca Alkitab dan bersembahyang setiap hari, namun berkongsi mengenai berita baik yang terkandung di dalam Alkitab dengan saudara-mara dan rakan khususnya mereka yang tidak mengenali Tuhan Jesus Kristus,” katanya semasa merasmikan kedai buku St. Christopher Bookshop di MyyMall Lutong semalam.

Hadir sama Father Andy Lee dan ratusan penganut Katolik yang lain.

Mengenai kedai buku itu, ia adalah yang pertama di bawah Diocese di kompleks beli-belah dan dinamakan sempena gereja St Christopher yang pernah dibina tidak jauh daripada kompleks tersebut.

“Kita berterima kasih dengan pemilik MyyMall kerana bersetuju memberikan dua lot di dalam kompleks ini untuk ruangan kedai buku bagi menggantikan sebidang tanah kecil yang diambil bagi pembinaan kompleks itu. Saya berharap penganut Katolik di sini akan memberikan sokongan,” katanya.

Gereja St Christopher dirobohkan dan dipindahkan pada 2000 ke lokasi baharu yang lebih luas iaitu Gereja Mater Dei Lutong sekarang.

Sementara itu, kedai buku ini terletak di aras tiga MyyMall dan dibuka setiap hari mulai jam 11 pagi hingga 9 malam.

Advertisement