Anda di sini

Chong Wei buru gelaran ke-10

Advertisement

MARA: Chong Wei beraksi menentang Jan O di separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2014 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Lim Khim Wah memberikan persembahan menakjubkan untuk mencatat sejarah tersendiri pertama kali mara ke final Kejohanan Super Siri Terbuka Malaysia 2014.

Pujian wajar diberikan kepada V Shem-Khim Wah yang mempamerkan prestasi konsisten untuk menyingkirkan beregu Indonesia Angga Pratama/Ryan Agung Saputra dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Dalam perlawanan penuh dramatik semalam, beregu negara menerima tamparan awal selepas tewas 23-25 pada set pertama sebelum bangkit mencari mata kemenangan di set kedua dengan 21-13.

Sokongan penonton tempatan yang hadir menyaksikan perlawanan itu memberikan semangat kepada mereka untuk meneruskan permainan agresif pada set penentuan untuk meranapkan peluang Angga-Ryan dengan 22-20 dalam satu jam 12 minit.

“Pada set pertama kalah… kecewa juga tetapi kami kejar mereka pada set kedua dan pada set ketiga, memang agak gementar tapi kita tetap memberikan permainan yang laju untuk menang.

“Memang puas hati sebab pertama kali berjaya mara sehingga ke final, perlawanan sangat sengit sorakan penonton hari ini juga memberikan semangat kepada kami.

“Memang kita mahu menjadi juara, walaupun pertama kali ke final, kita tetap akan memberikan saingan sengit kepada lawan esok,” kata V Shem.

Menanti V Shem-Khim Wah di final ialah Chai Biao-Hong Wei dari China selepas menewaskan beregu Jepun Endo Hiroyuki-Hayakawa Kenichi 21-12, 21-12 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei pula menghampiri kejuaraan kesepuluh Terbuka Malaysia apabila mudah meraih tiket ke final berikutan lawannya, Jan O Jorgensen dari Denmark menarik diri pada set kedua dalam perlawanan separuh akhir semalam.

Chong Wei meraih kemenangan pada set pertama 21-13 dan mendahului 3-0 pada set kedua sebelum Jorgensen membuat keputusan menarik diri berikutan kekejangan otot paha kanan.

Pada final hari ini menyaksikan pertembungan Chong Wei dengan pemain nombor empat dunia, Tommy Sugiarto dari Indonesia yang menewaskan Kenichi Tago dari Jepun 21-13 dan 21-18 dalam satu lagi perlawanan.

“Perlawanan hari ini (semalam) biasa sahaja sebab Jorgensen menarik diri pada set kedua.

Esok (hari ini) akan bertemu Tommy, bagi saya beliau (Tommy) pemain yang berdisiplin, selepas kalahkan Tago (Kenichi Tago dari Jepun), kita boleh lihat dia tidak akan memberikan saingan mudah pada final.

“Sasaran saya ialah meraih kemenangan ke-10 di sini, memang teruja dan agak tertekan sedikit tetapi saya akan memberikan perlawanan sebenar pada esok (hari ini),” kata Chong Wei.

Chong Wei merupakan juara Terbuka Malaysia pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013. — Bernama

Advertisement