Anda di sini

Milorad jadi pertaruhan Ngap Sayot

Advertisement

JADI TARUHAN: Milorad (kiri) dan Muamer (kanan) menjadi pertaruhan Sarawak memburu kemenangan pada perlawanan pertama Liga Super 2014 menentang ATM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

KUCHING: Juara Liga Per­dana 2013, Sarawak bersedia mempertaruhkan penyerang baharu Milorad Janjus pada perlawanan pembukaan Liga Super 2014 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Maj­lis Perbandaran Selayang malam ini.

Pemain yang baharu dibeli pada musim ini diberi ‘lampu hijau’ oleh Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts bagi merobek gawang lawan sambil digandingkan dengan penjaring terbanyak musim lalu, Muamer Salibasic.

“Kita akan menguji ke­upayaan Mikie (Milorad) esok (malam ini) dan adalah peluang terbaik bagi beliau membuktikan kemampuan­nya dalam perlawanan yang cukup penting.

“Saya yakin gandingan mereka dapat menghasilkan sesuatu yang positif pada per­lawanan ini,” katanya di sini semalam.

Manakala seorang lagi peny­erang baharu, Alireza Abbas­fard diletakkan di bangku simpanan.

Jentera tengah Sarawak pula akan dikemudi kapten Joseph Kalang Tie sambil dibantu Reshafiq Alwi, Mohd Lot Abu Hassan dan Ashri Chuchu.

Cuma yang membimbang­kan Alberts adalah tahap kecergasan Ashri yang masih belum pulih sepenuhnya se­lepas membantu negara pada Sukan SEA Myanmar bulan lalu.

“Beliau (Ashri) akan ditu­runkan namun besar kemung­kinan tidak sepenuhnya,” ujar Alberts sambil mengharap­kan sentuhan kreativiti dari pemain itu dapat membantu skuad melakar kemenangan sulung pada malam ini.

Bagi mengekang asakan jentera serangan ATM yang pastinya diketuai penyerang berbisa, Marlon Alex James, Alberts mempertaruhkan gandingan pemain import ber­pengalaman, Gabor Gyepes dan Ronny Harun sambil dibantu Hairol Mokhtar dan Rames Lai.

“Saya cukup yakin dengan kekentalan dan pengalaman yang dimiliki Gabor. Na­mun, pada masa sama saya meminta pemain-pemain lain turut membantu beliau mematahkan asakan lawan,” ujarnya.

Sarawak akan turun tanpa khidmat Mafry Balang, pe­main kebangsaan Junior Eld­stal dan Shahrol Saperi yang masih belum cergas sepe­nuhnya.

“Fokus dan jangan leka kerana ATM amat berbahaya ketika melakukan serangan terutamanya ketika mengam­bil sepakan percuma.

“Paling penting jangan mensia-siakan segala peluang yang tercipta jika berhas­rat untuk membawa pulang mata,” katanya.

 

Advertisement