Anda di sini

SUKMA XVII: S’wak cuma sertai 24 acara

Advertisement

BINCANG: (Duduk dari kiri) Lucas, Affandi, Lee, Ong dan Abdul Muktalib bersama pengurus, koordinator dan jurulatih sukan semasa mesyuarat persediaan SUKMA XVII, semalam.

KUCHING: Kontinjen Sarawak menetapkan hanya akan menyertai 22 daripada 24 acara yang dipertanding­kan pada SUKMA XVII di Perlis dari 24 Mei hingga 4 Jun depan.

Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin mengumumkan perkara tersebut semasa mempengerusikan mesyuarat persediaan Sarawak meng­hadapi SUKMA 2014 yang disertai pengurus, jurulatih dan koordinator sukan di sini semalam.

Acara yang akan disertai Sarawak adalah akuatik, angkat berat, badminton, ber­basikal, bola sepak, golf, hoki, kanu, karate, boling padang, memanah, menembak, olah­raga, pencak silat, petanque, sepak takraw, skuasy, taek­wondo, tenis, tenpin boling, tinju dan wushu.

Manakala yang tidak disertai gimrama dan perahu layar.

“Saya ingin menekankan kepada para jurulatih agar hanya menyenaraikan atlet terbaik pada SUKMA kali ini,” katanya.

“Justeru, saya mahu pemi­lihan atlet dilakukan secara profesional dengan hanya men­gambil kira keupayaan mereka menyumbang pingat.”

Beliau juga menegaskan kepada semua persatuan yang terlibat agar menyerahkan senarai nama atlet selewat-lewatnya sebelum 28 Februari depan.

Menurut Lee, pada edisi kali ini Sarawak menyasarkan acara renang, wushu, tenis, taekwondo, berbasikal dan tenpin boling menjadi peny­umbang besar pingat emas.

Selain itu, beliau juga ber­harap kontinjen negeri mam­pu memperbaiki pencapaian menduduki tempat keempat pada SUKMA XV di Pahang pada 2012.

“Kita belum meletakkan jumlah sasaran pingat emas untuk SUKMA kali ini kerana persatuan belum menetapkan senarai atlet yang akan di­hantar bertanding.

“Namun, ia akan dipu­tuskan sebaik semua atlet kembali dari menjalani latihan pendedahan,” katanya.

Tegasnya, cabaran besar yang dihadapi kontinjen neg­eri adalah untuk mengadakan latihan berpusat bagi para atlet memandangkan sebahagian daripada mereka tinggal be­rasingan di seluruh negeri.

Selain itu, tambahnya, kon­tinjen Sarawak juga bakal ber­depan saingan sengit daripada ramai atlet kebangsaan yang turut serta.

“Namun saya yakin atlet kita mampu mencipta kejutan terhadap peserta kebangsaan seperti yang telah dibuktikan oleh atlet wushu dan gimnas­tik pada SUKMA sebelum ini,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak Dr Ong Kong Swee, Setiausaha Tetap Kementerian Pemban­gunan Sosial (KPS) Affandi Keli, Pemangku Pengarah MSNS Lucas Kallang dan Penolong Pengarah MSNS Abdul Muktalib Mohamad.

 

Advertisement