Anda di sini

Sukan Para ASEAN: Muhd Ziyad, Krishna Kumar sumbang emas

Advertisement

NAYPYITAW: Atlet par­alimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli membuka tirai kutipan pingat emas acara olahraga pada hari kedua temasya Sukan Para ASEAN ketujuh di Naypyitaw, se­malam.

Beliau meraih emas dalam acara lempar cakera lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan jarak 38.37 meter manakala rakan sepasukan, Abdul Shukur Subari menang pingat perak selepas mencatat jarak 29.93 meter.

“Saya berpuas hati ker­ana berjaya menga­tasi catatan terbaik peribadi saya iaitu 33 me­ter,” katanya kepada Ber­nama di sini.

Sementara itu at­let balapan, Krishna Kumar Hari Das pula menyumbang pingat emas kedua menerusi acara 400 meter lelaki T38 dengan masa 58.04 saat.

Acara sebelah pagi ini turut menyaksikan satu rekod kebangsaan baharu dicipta menerusi Mohd Hisham Khaironi dalam acara mere­jam lembing lelaki F12.

Mohd Hisham berjaya mengatasi rekod kebangsaan miliknya iaitu 45.86 meter yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Terbuka IPC di Itali pada Mac tahun lepas dengan rekod ba­haru, 49.73 meter.

“Sasaran saya ialah menca­pai 50 meter tetapi tidak kesa­mpaian. Kejayaan melakukan lebih 49 meter ini pun sudah cukup baik,” katanya yang memenangi pingat perak dalam acara itu.

Bagi acara lompat jauh lelaki F44, nasib tidak menyebelahi Saiful Dawang yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

“Saya agak kecewa sebab ketinggalan 0.02sm sahaja untuk menang emas. Pihak penganjur tidak meng­gunakan papan lonjakan dan agak sukar untuk saya melonjakkan badan saya,” katanya.

Dalam acara itu, Saiful mencatat jarak 5.57 meter berbanding pemenang pin­gat emas dari Indonesia yang mencatat 5.59 meter.

Acara olahraga di sebelah pagi juga menyaksikan Nurul Farizai Mat Hussin meraih pingat perak dalam acara lompat jauh wanita F44/F46 dengan jarak 4.17 meter. — Bernama

Advertisement