Anda di sini

Orang ramai dipelawa beri idea

Advertisement

KINARUT: Pasukan Gerakan Am (PGA) bakal mendapat impak transformasi positif menerusi proses penjenamaan semula termasuk nama baharu dalam usaha mendekatkan unit beruniform itu kepada masyarakat setempat.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Salleh Mat Rasid berkata, masyarakat awam dialu-alukan memberi cadangan bagi membentuk serta melontarkan idea nama baharu yang bersesuaian dengan imej pasukan.

“Kita memberi peluang kepada orang ramai untuk mengemukakan nama itu di laman sosial Facebook KDNKA atau laman rasmi PDRM sebagai usaha memasyarakatkan lagi PGA ini.

“Dalam masa sama, usaha itu adalah membolehkan masyarakat memahami peranan PGA berikutan saya difahamkan orang ramai masih terpinga-pinga apa sebenarnya fungsi pasukan ini ditubuhkan.

“Sehubungan itu, saya berharap penjenamaan semula PGA bakal memberi impak positif termasuklah kepada rakyat Sabah berhubung fungsi serta peranan pasukan berkenaan untuk menjaga keamanan negara,” katanya.

Menurut beliau, penjenamaan semula itu akan dilaksanakan pada tempoh terdekat selain mengambil kira beberapa implikasi serta kriteria yang diperlukan termasuklah dari sudut perundangan, prosedur operasi standart (SOP), latihan dan sebagainya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Komander Briged Sabah di sini kelmarin.

Majlis berkenaan menyaksikan Senior Asisten Komisioner (SAC) Kamarul Bahrin Mohamad dilantik sebagai Komander PGA Sabah menggantikan SAC Datuk Ahmad Marzuki Mohd Saad yang ditukarkan ke Ketua Staf Briged PGA Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Malek Harun dan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom Datuk Abdul Rashid Harun.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Salleh turut yakin dengan keupayaan PGA yang ditugaskan di Esscom dalam mengawal keselamatan di sempadan negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini, hampir dua batalion anggota dan pegawai PGA dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung ditempatkan di pantai timur bersama-sama dengan agensi keselamatan yang lain.

“Setakat ini, hampir dua batalion anggota PGA bertugas bersama pasukan atau jabatan keselamatan yang lain di Esscom.

“Malah pegawai tinggi yang menjalankan tugas di situ juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan sehubungan itu, pengalaman-pengalaman terbabit adalah amat berguna bagi menjamin keselamatan negara,” katanya.

Advertisement