Anda di sini

15 atlet berbasikal jalani latihan intensif di Perlis

Advertisement

KUCHING: Seramai 15 atlet berbasikal mula menjalani latihan intensif sepenuh masa di Perlis sejak 2 Januari lalu sebagai persediaan meng­hadapi SUKMA XVII yang bermula 24 Mei depan.

Ketua Jurulatih Dzulkaflee Hassan berkata, latihan itu bertujuan menyesuaikan diri para pelumba dengan keadaan trek lumba di sana.

“Skuad berbasikal akan menjalani latihan intensif di Perlis hingga SUKMA XVII bermula,” katanya semasa ditemui pada mesyuarat per­sediaan SUKMA 2014 di sini, semalam.

“Ini bagi memberi peluang kepada pelumba menyesuaikan diri dengan keadaan di sana selain sebagai langkah me­mantapkan persediaan mereka menghadapi SUKMA.”

Katanya, sasaran utama skuad berbasikal adalah un­tuk mengekalkan dua pingat emas yang dimenangi dalam acara berbasikal bukit pada SUKMA XV di Pahang dua tahun lalu.

Bagi merealisasikan impian itu, beliau mempertaruhkan Awang Adip Awang Sufian, Hamif Kamaludin, Mohd Fitri Hassim, Mahathir Norseman, Awang Adin Awang Sufian, Richard Yii, Garry Tay Yuan Swee dan Neol Lim Boon Hee dalam acara lelaki.

Manakala, pelumba wanita dikepalai pemenang pingat emas SUKMA XV Rosnina Minggu, Carolline George, Aina Zafirah Ahmad Shabry, Nur Azrenna Ahmad Jumry, Carleen Wang, Norismiza Azeman dan Radin Nur Kha­liesha Radin Kristino.

“Kita akan menyertai 10 acara yang dipertandingkan dengan sasaran utama dalam acara berbasikal bukit,” katanya.

Acara yang akan disertai skuad berbasikal Sarawak adalah ujian masa perse­orangan dan berpasukan, kriterium, lepas beramai-ramai (perseorangan dan berpasukan), 200m pecut, 1km, menuruni bukit (basikal bukit), rentas desa perse­orangan (basikal bukit) dan perlumbaan BMX.

Advertisement