Anda di sini

Pendedahan terbaik buat Adam, Alfred

Advertisement

KUCHING: Persatuan Badminton Sarawak (SBA) menghantar pasangan kembar Adam Lau Yu Ming dan Alfred Lau Yu Leong menyertai kejohanan badminton bagi memilih skuad pelapis kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 20-24 Januari ini.

Kedua-dua pemain itu yang menjadi wakil Sarawak akan berentap mempamerkan kemahiran menentang pemain pelapis kebangsaan pada saingan itu nanti.

Mereka dipilih oleh SBA setelah mempamerkan persembahan memberangsangkan pada kejohanan peringkat negeri dan Sabah-Sarawak sebelum ini.

Berusia 19 tahun, adik beradik kembar itu merupakan juara beregu bawah 16 tahun lelaki dan Pemilihan Sirkit Remaja Kebangsaan Sarawak 2013 Bawah 18 tahun.

Adam dan Alfred turut dinobatkan johan acara beregu Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan Sabah-Sarawak 2013 dan menjuarai kejohanan pemilihan pemain SUKMA XVII yang diadakan di Dewan SBA baru-baru ini.

Lebih menarik, Alfred turut memenangi acara perseorangan pada pemilihan Sirkit Remaja Kebangsaan Sarawak 2013 dan SUKMA XVII manakala Adam muncul naib johan dalam kedua-dua acara.

Kedua-duanya turut diserap dalam skuad badminton SUKMA XVII Sarawak.

“Ini merupakan peluang terbaik bagi kedua beradik membuktikan keupayaan menentang pemain pelapis kebangsaan selain pada masa sama memberi ruang kepada mereka memperbaiki kemahiran dan menimba pengalaman,” ujar Kenny Lau, ayah kepada kedua pasangan tersebut.

“Ia juga akan menjadi pendedahan terbaik buat Adam dan Alfred. Saya ingin merakamkan terima kasih kepada SBA kerana sudi melatih dan memberi peluang kepada mereka bertanding pada kejohanan itu.”

Lau menambah, kedua pasangan itu juga perlu menyertai lebih banyak kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa untuk memantapkan lagi mutu permainan mereka.

Pada awal tahun ini, pasangan kembar Lau menerima suntikan tajaan selama dua tahun dari Maxx Sports Sdn Bhd yang berpangkalan di Muar, Johor.

Melalui perjanjian itu, Adam dan Alfred akan menerima tajaan berupa pakaian dan peralatan badminton termasuk elaun latihan dan perjalanan.

Selain itu, mereka juga akan menyertai Terbuka Sabah, Terbuka Perak, Siri Thailand, Siri Indonesia dan Cabaran Malaysia sepanjang tahun ini.

Advertisement