Anda di sini

D’Santos DSSC bukti keunggulan

Advertisement

SARATOK: Pasukan D’Santos DSSC membuktikan kehebatan mereka setelah muncul johan Kejohanan Futsal Sempena Pesta Saratok anjuran Pemuda PBB Kalaka dengan kerjasama Majlis Daerah Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian, petang kelmarin.

Dalam pertandingan tersebut, D’Santos DSSC menampilkan barisan pemain yang serba muda.

Bagaimanapun, D’Santos DSSC terpaksa bekerja keras sebelum melengkapkan hari gemilang dengan kemenangan besar dan bergaya 5-0 ke atas Zanas FC.

Harun muncul wira D’Santos DSSC apabila meledak tiga gol sambil Mohammad Zaki Amit turut menyumbat dua gol untuk memastikan kejuaraan penuh bermakna buat pasukan mereka.

Kedua-dua pasukan yang beraksi di final, masing-masing telah menewaskan lawan pada separuh akhir kejohanan menawarkan hadiah wang tunai RM300 bagi sang juara dan wang tunai RM200 bagi naib juara.

Kedua-dua pasukan yang tumpas separuh akhir berkongsi di kedudukan ketiga dan masing- masing menerima hadiah wang tunai RM150.

Sementara itu, wakil penganjur Abdul Razak Awang Bini berkata kejohanan itu diadakan sempena sambutan Pesta Saratok 2013/2014.

Katanya, program futsal ini juga adalah termasuk sebahagian daripada pengisian Sambutan Pesta Saratok 2013/2014 yang diatur sejak awal Disember tahun lalu.

Abdul Razak juga turut diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir Ketua Pemuda PBB Kalaka, Kasdi Pandi dan Wan Ismail Wan Zamahari.

Dalam pada itu, turut diadakan kejohanan Futsal Wanita Terbuka Saratok dan Futsal Lelaki Bawah 12 Tahun dan sebanyak 30 penyertaan menyertai pertandingan yang diadakan selama dua hari tersebut.

Advertisement