Anda di sini

Tingkat kemampuan atlet muda

Advertisement

TANDA INGATAN: Yong (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Lee sambil disaksikan oleh pemangku pengarah MSNS, Lucas Kalang (kiri) di Miri malam kelmarin.

Sarawak berharap dapat jalin kerjasama lebih mantap dengan institusi sukan di Korea Selatan

MIRI: Sarawak berharap dapat menjalinkan kerjas­ama lebih mantap dengan institusi-institusi sukan di Korea Selatan bagi membantu menambah baik mutu dan persembahan dalam bidang sukan atlet-atlet negeri ini.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin ber­kata jika hasrat tersebut terlaksana dapat membantu atlet-atlet muda negeri ini dilengkapi dengan ilmu pengetahuan selain mem­pertingkat kemahiran dalam bidang sukan mereka.

“Saya rasa terpanggil untuk menjalin kerjasama dengan institusi-institusi sukan di Korea Selatan, se­lepas mengadakan lawatan ke Universiti Sukan Ke­bangsaan di Korea Selatan baru-baru ini,” katanya.

Berucap pada majlis makan malam dianjurkan oleh Ma­jlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi mengalukan rombongan dari Korea Sela­tan di sini malam kelmarin, Lee menyifatkan bahawa lawatan beliau ke negara itu amat membuahkan hasil.

“Hasil lawatan saya ke sana, saya sedar masih ban­yak yang perlu kita pelajari dan fahami berkaitan bidang sukan dan saya amat ber­harap mereka dapat mem­bantu kita sama ada dalam latihan mahupun perkara-perkara lain berkaitan den­gan sukan,” tambah Lee.

Pada masa yang sama, Lee juga mahu program pertu­karan antara Sarawak dan Korea Selatan diteruskan bagi membolehkan Sarawak mempelajari budaya yang berbeza selain bahasa Korea dan juga tradisi-tradisinya terutama dari segi masakan yang amat mendapat sambu­tan penduduk negeri ini.

Dalam pada itu, Lee memberi jaminan bahawa Sarawak bersedia mem­bantu pelajar-pelajar Korea Selatan mendalami pem­belajaran bahasa Inggeris mereka kerana sedar bahasa pengantaraan antarabangsa itu akan menjadi aset pent­ing bagi generasi muda Ko­rea Selatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee yang juga Menteri Muda Perhubun­gan turut menjemput pela­jar-pelajar negara itu supaya datang ke sini dan men­gambil pengajian mereka di Universiti Curtin (Curtin) Kampus Sarawak.

“Saya berharap melalui program-program pertu­karan yang telah dan bakal diadakan pada masa hada­pan, lebih ramai pelancong dari Korea akan datang ke negeri ini sekali gus menger­atkan jaringan kerjasama kedua-dua negara,” tambah beliau.

Sementara itu, delegasi dari Korea Selatan tiba di sini kelmarin terdiri daripada Ketua Jabatan Pendidikan Korea Selatan, Chung Jae Yong serta 13 orang guru dan guru be­sar sekolah tinggi di Korea Selatan.

Advertisement