BINTULU: Umat Islam di sini digesa agar mengekalkan perpaduan yang sekian lama terjalin sama ada sesama Islam atau dengan penganut agama lain bagi memastikan kesejahteraan kaum berkekalan sampai bila-bila.
Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata sebagai negara yang didiami masyarakat majmuk dengan pelbagai fahaman cara hidup, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak mengekalkan keamanan serta kesejahteraan hidup.
“Saya amat bangga dengan sikap orang kita di sini yang amat bertolak ansur serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain sekali gus membolehkan kita terus hidup sebumbung di bawah naungan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang amat mementingkan keamanan serta keharmonian kaum,” katanya pada perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 2014 di Dataran Esplanade Bintulu di sini pagi semalam.
Sambil menyifatkan masyarakat di sini bersikap rasional serta matang dalam pelbagai isu berkaitan agama, Talib berharap tidak akan ada manamana pihak sengaja membangkitkan isu-isu agama yang agak sensitif serta memecah-belahkan perpaduan penduduk di negeri ini khususnya di Bintulu.
Katanya harus diingat Islam merupakan agama rasmi negara ini yang mementingkan kedamaian serta keharmonian hidup sesama sendiri sekali gus menghormati agama dan fahaman lain yang dianuti oleh pelbagai etnik.
“Justeru, saya menolak sekiranya ada desas-desus mengatakan agama Islam tidak mengambil kira sensitiviti kaum di negara ini kerana Islam merupakan agama yang mementingkan keharmonian kaum serta mempraktikkan nilai-nilai toleransi tinggi dalam amalan seharian,” ujarnya.
Sebanyak 81 kontinjen terdiri kakitangan kerajaan dan swasta daripada pelbagai jabatan termasuk syarikat korporat dan perindustrian serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini menyertai perarakan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Talib turut menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul 2013 kepada Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu.
Turut diadakan acara penyampaian Anugerah Tokoh Pelajar Mithali iaitu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam di bahagian ini.
Bagi tahun ini, Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) disandang Mohd Zdul Faiz Matamit daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong II dan Annur Sahla Saffiee daripada SK Kidurong manakala Penilaian Menengah Rendah 2013 pula, penerima anugerah itu ialah Aiman Aqil Asri Afendi dan dan Nurul Asyikin Ibrahim daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong.
Bagi Sijil Pelajaran Malaysia 2012 pula, penerima anugerah khas pelajar Islam cemerlang dalam peperiksaan berkenaan ialah Fanazrin Kemp Abdul Hakim daripada SMK Kidurong dan Nurul Akmal Safian daripada SMK Bintulu.
Hadir sama Pembantu Khas Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir.