KUCHING: Penduduk di Kuching dan Sri Aman semalam mengalami gangguan bekalan elektrik dua jam lebih mulai kira-kira jam 11.42 pagi dan pulih berperingkat-peringkat sehingga jam 2.28 petang.
Ia merupakan gangguan kali kedua dalam tempoh kurang seminggu apabila dua kawasan tersebut mengalaminya pada 9 Januari lepas selama dua jam lebih mulai jam 2.30 petang.
Ketua Pegawai Operasi Sarawak Energy Bhd Lu Yew Hung berkata, punca kejadian semalam adalah sama seperti sebelum ini iaitu di stesen kecil Engkilili di Sri Aman.
“Insiden hari ini sekali lagi dicetuskan kerja-kerja menguji di stesen kecil 275kv Engkilili.
“Kerja ini kini telah dihentikan sementara dan tidak akan diteruskan hingga kami berpuas hati ia tidak akan menimbulkan masalah kepada sistem grid,” katanya menerusi satu kenyataan.
Justeru, Sarawak Energy memohon maaf susulan gangguan dan berusaha akan mengelakkan kejadian sama berulang.