Anda di sini

Pelbagai aktiviti pelancongan disenarai untuk dilaksana di DUN Satok: Abang Jo

Advertisement

BERARAK: (Dari kiri) Fadillah, Johari dan Abdul Wahap menyertai perhimpunan dan perarakan sempena sambutan Malisur Rasul di pekarangan Surau Bandarsah, di Kpg No.2. — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Pelbagai aktiviti pelancongan disenarai untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dalam usaha merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dan Sarawak.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata acara kemuncak yang bakal diadakan ialah Minggu Satok, lazimnya disambut pada Ogos setiap tahun.

Beliau menambah, bagi membuka tirai aktiviti pelancongan tahun ini, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok akan menganjurkan aktiviti berbasikal melibatkan lebih 1,000 peserta iaitu pada Februari depan.

Selain itu, katanya Unit Sukan PBB Satok akan mengadakan pertandingan memancing diikuti kejohanan sukan yang akan diadakan di Pusat Sukan PBB di Kampung Patingan, dekat sini.

“Satok adalah kawasan yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching dan Persatuan Pelancongan Satok telah menyenaraikan beberapa kegiatan yang membawa sedikit sebanyak elemen pelancongan.

“Kemuncak kepada aktiviti-aktiviti ini ialah Minggu Satok atau Pesta Satok yang disambut pada Ogos nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan dan perarakan semepnena Sambutan Maulidur Rasul di pekarangan Surau Bandarsah, di Kampung No.2 di sini semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan ADUN Satok berkata Pesta Satok kali ini bakal memperlihatkan sedikit kelainan kerana ia akan disertai Persatuan  Pelancongan Melaka.

Menurutnya ia merupakan jalinan kerjasama dengan Persatuan Pelancongan Melaka hasil kunjungan lawatan Persatuan Pelancongan Satok ke negeri berkenaan baru-baru ini.

“Kunjungan ke Melaka tempoh hari telah mewujudkan jaringan kerjasama antara pihak kita dengan Melaka.

“Dalam Pesta Satok nanti kami akan membawa Persatuan Pelancongan Melaka, salah satu program pertukaran kami,” jelasnya.

Tambahnya lagi menerusi usaha itu, ia sudah tentu akan mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua negeri dalam sektor pelancongan.

Sementara itu, beliau mengajak umat Islam khususnya di Satok agar mengeratkan lagi perpaduan sesama ummah dan kaum lain di negeri ini sempena sambutan Maulidur Rasul.

“Perpaduan adalah asas penting kepada keharmonian sesama ummah, juga umat lain khususnya di negeri yang mempunyai rakyat pelbagai kaum serta agama  selain amalan kesederhanaan sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

Hadir sama Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Advertisement