Anda di sini

Paruwadi belum bersedia pimpin PSM

Advertisement

PERARAKAN: (Dari kiri, barisan depan) Weera, Paruwadi dan Jas memimpin perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul di Kampung Tabuan Melayu semalam.

KUCHING: Naib Presiden IV Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Paruwadi Musa berkata beliau masih belum berse­dia untuk memegang jawa­tan nombor satu persatuan tersebut.

Katanya, masih banyak yang perlu dipelajarinya se­belum bersedia untuk mem­impin badan induk sepak takraw negara itu.

“Saya telah dihubungi wakil PSM dari Wilayah Persekutuan, Kelantan, Sabah, Terengganu dan Johor yang mahukan saya mengetuai PSM.

“Ini satu penghargaan buat saya, namun saya masih mempertimbang tawaran tersebut,” katanya ketika ditemui pada perarakan sempena sambutan Mauli­dur Rasul di Kampung Tabuan Melayu, semalam.

Menurut Paruwadi, beliau berasa terharu apabila wakil dari Wilayah Persekutuan dan Kelantan sanggup me­lepaskan jawatan presiden negeri bagi memudahkannya menjadi presiden PSM.

“Masih banyak yang perlu saya pelajari sebelum berse­dia memimpin PSM. Apa­pun saya ingin merakamkan terima kasih kepada mereka yang menaruh kepercayaan kepada saya,” tambahnya.

PSM dijangka mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Jun depan.

Paruwadi menambah, fokus beliau kini adalah un­tuk membangunkan sepak takraw negeri dari peringkat akar umbi.

Justeru, pihaknya akan memperhebat penganjuran kejohanan tempatan bagi mencungkil lebih ramai pe­main baharu.

“Kita bercadang untuk menganjurkan Piala dP ed­isi kedua di Demak Laut. Ia terbuka kepada semua peminat sepak takraw dari Kuching dan Samarahan,” katanya sambil menambah tarikh kejohanan masih be­lum ditetapkan.

Hampir 1,000 peserta mewakili 14 kontinjen meny­ertai perarakan yang dian­jurkan oleh Masjid Darul Saadah, Kampung Tabuan Melayu bermula pada jam 6.30 pagi semalam.

Mereka yang hadir ter­diri dari AJK surau, se­kolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan tadika dari seki­tar kampung.

Menyertai Paruwadi mem­impin perarakan ialah Ketua Pemuda Muara Tabuan Weera Samin, Penghulu Kampung Tabuan Melayu Jas Said dan Ketua Kaum Tabuan Hilir, Ramli Saleh.

Advertisement