Anda di sini

Masyarakat Islam perlu fokus bagi mengukuhkan perpaduan

Advertisement

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee menggesa masyarakat Islam memberi fokus kepada perkara-perkara yang dapat mengukuhkan perpaduan.

“Pemimpin-pemimpin masyarakat Islam mesti memimpin komuniti mereka bagi memastikan pembangunan manakala ahli perniagaan Islam juga mesti membantu orang kurang berkemampuan dalam memastikan taraf hidup golongan itu terjamin dengan menyediakan peluang pekerjaan bagi mereka.

“Tumpuan ini boleh memberi kekuatan kepada kita dalam membina perpaduan komuniti Islam di sini,” katanya pada perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sibu di Masjid An-Nur di sini, semalam.

Beliau juga menggesa rakyat supaya aktif dalam semua aktiviti Islam yang dianjurkan.

Dr Annuar berkata, Masjid An-Nur akan berwajah baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Jelasnya, kerja-kerja pengubahsuaian masjid tersebut akan bermula pada Februari depan.

Sementara itu, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sibu sepatutnya ada perarakan di sekitar bandar ini tetapi telah dibatalkan kerana hujan lebat.

Salah seorang peserta, Pengerusi Masjid Darul Amilin, Taman Permai, Abdullah Daraup berkata ia adalah sangat mengecewakan kerana perarakan terpaksa dibatalkan.

Beliau berkata, acara itu mengajar rakyat supaya bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain sebagai satu komuniti.

“Walaupun kami tidak berarak pada tahun ini namun melalui acara seperti ini, kami menggalakkan keharmonian dan keamanan di kalangan satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, anggota jawatankuasa itu mengambil tempoh kira-kira seminggu untuk melengkapkan hiasan dan sepanduk untuk perarakan itu.

Sementara itu, guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa mengambil masa kira-kira sebulan untuk melengkapkan hiasan dan sepanduk.

Sekolah itu muncul johan pertandingan sepanduk kategori sekolah rendah pada perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sibu kali ini.

Advertisement