Anda di sini

Masa depan lima wakil rakyat SUPP di awang-awangan

Advertisement

KUCHING: Ke mana lima Ahli Dewan Undangan Ne-geri (ADUN) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan pergi sekiranya pendaftaran parti itu dibatalkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Dua cawangan parti itu, Piasau dan Bekenu, tidak lagi beroperasi selepas ROS mendapati mereka bersalah melakukan penyelewengan semasa pemilihan di cawangan masing-masing pada 2011.

SUPP turut berdepan masa depan tidak menentu selepas ia menerima surat tunjuk sebab, bertarikh 6 Januari tahun ini daripada ROS di Kuala Lumpur, meminta parti politik tertua dan terkemuka di negeri ini menyatakan kenapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.

Bagaimanapun di sebalik krisis parti, Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot dan empat lagi wakil rakyat kaum Dayak parti itu, Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Datuk Francis Hardin Hollis (Simanggang), Ranum Mina (Opar) dan Dr Jonical Rayong Ngipa (Engkilili) tetap tidak goyah.

Riot, yang merupakan bukan Cina yang pertama memegang jawatan timbalan presiden parti, berkata langkah terbaik ialah untuk mereka yang terlibat dalam kemelut itu menyerahkan kepimpinan parti kepada mereka yang berpendirian berkecuali untuk bekerjasama dan menyelamatkannya.

“Itulah yang dapat saya katakan ketika ini,” katanya kepada Bernama dan me-nurutnya beliau masih belum memikirkan langkah seterusnya sekiranya parti dibatalkan pendaftaran.

Ranum, yang dikaitkan dengan kumpulan diketuai Dato Sri Wong Soon Koh, pengerusi SUPP Cawangan Sibu yang telah dipecat, berkata anggota parti pasti berasa sangat sedih jika parti dibatalkan.

Pengerusi SUPP Cawangan Opar itu berkata pemimpin dan anggota cawangan masih setia kepada parti dan meng-elak sebarang rancangan untuk meninggalkan parti secara terburu-buru.

“Langkah terbaik ketika ini ialah untuk menyerahkan kepada ROS untuk memutuskan nasib parti dan kami akan terus berkhidmat kepada pengundi dengan sebaik mungkin,” katanya.

Penganalisis sosiopolitik Datuk Peter Minos berkata sebaiknya wakil rakyat Dayak parti berkenaan menyertai mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) sekiranya SUPP dibatalkan pendaftaran.

“Tiada apa lagi yang patut dikatakan selepas dua cawangan parti dibatalkan pendaftaran dan badan induk kini dilanda masalah,” kata bekas Timbalan Ketua Publisiti PBB itu.

Katanya kini hanya bersifat akademik untuk mengulangi apa yang telah dikatakan dua tahun lepas supaya pemimpin tertinggi SUPP berbincang dengan baik, berkompromi dan mengelak menyuarakan masalah dalaman parti secara terbuka.

Minos yang yakin masih ada harapan, berkata apa yang berlaku kepada SUPP wajar dijadikan iktibar oleh semua parti komponen BN.

Sementara itu, bekas Naib Presiden SUPP Datuk Yong Khoon Seng amat bimbang dengan masalah yang sedang melanda parti itu.

Yong berkata beliau bersedia untuk menasihati dua kumpulan yang bertelagah dalam parti sekiranya mereka meminta pandangannya dalam mencari jalan untuk menyelamatkan parti.

Bagaimanapun, beliau menyangkal mengenai kemungkinan beliau membantu mereka menubuhkan parti baharu untuk menggantikan SUPP, sambil menegaskan beliau telah bersara daripada bergerak aktif dalam politik.

Pembatalan pendaftaran dua cawangan itu tidak menjejaskan kedudukan atau status Presiden Tan Sri Peter Chin dan Setiausaha Publisiti Datuk Sebastian Ting.

Chin ialah Pengerusi Cawangan Piasau manakala Ting Pengerusi Cawangan Bekenu. — Bernama

Advertisement