Anda di sini

Korea Selatan mahu belajar bahasa Inggeris lebih mendalam di Sarawak

Advertisement

RAKAM KENANGAN: Lee (berdiri, enam kanan) dan Chung serta Kwon (masing-masing berdiri, lima dan empat kanan) bergambar kenangan bersama tetamu kehormat dan ahli delegasi Korea Selatan.

MIRI: Korea Selatan berhasrat mahu belajar bahasa Inggeris dengan lebih mendalam daripada institusi pendidikan di Sarawak dengan menghantar lebih ramai pelajar sekolah dari negara itu untuk belajar di sini, khususnya di Curtin University Kampus Sarawak (Curtin Sarawak).

Sehubungan itu, Korea Selatan kini dalam usahanya untuk menjalin kerjasama dua hala dengan Sarawak bagi menambah baik tarikan sedia ada, untuk memenuhi keperluan dan manfaat kedua-dua negara dalam aspek pendidikan dan kebudayaan.

Ketua Jabatan Pendidikan Korea Selatan Chung Jae Yong, ketika memberitahu mengenai perkara itu, yakin kerjasama yang terjalin kelak akan mewujudkan platform bagi kedua-dua rakyat Korea dan Sarawak untuk belajar dan saling memahami mengenai tradisi, budaya dan sebagainya.

“Kami tidak sabar untuk mengadakan usaha sama dan ini merupakan peluang keemasan bagi kami untuk menjalin hubungan rapat dengan Sarawak kerana kami benar-benar ingin belajar bahasa Inggeris dengan lebih baik di sini.

“Kami dan warga Korea Selatan yang lain, saya yakin amat menyukai Sarawak terutama utara negeri ini termasuk Miri, kerana keindahan alam semula jadinya di samping ia adalah sebuah bandar raya yang cantik, hidup dan kaya dengan budaya serta amat menghormati (pelawat),” ujarnya.

Berucap pada majlis makan malam mengalukan kedatangan rombongan guru-guru dari Korea Selatan yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam kelmarin, Chung berharap lebih banyak program pertukaran membabitkan budaya, pendidikan dan akademik dilakukan oleh kedua-dua Korea Selatan dan Sarawak pada masa depan.

“Program pertukaran ini amat penting khususnya dalam menggalak rakyat kedua-dua negara terutama pelajar sekolah mengambil bahagian dan belajar mengenai budaya negara lain termasuk menyemai minat belajar di kalangan mereka,” tambahnya.

Sementara itu, majlis makan malam tersebut telah dianjur dan dihoskan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak, bagi mengalukan kedatangan 13 guru dan guru besar sekolah-sekolah tinggi di Korea Selatan.

Rombongan terbabit juga merupakan ahli-ahli ‘Love Sarawak & Sabah Club’. Selain mendengar taklimat mengenai perkembangan pembangunan terkini di Sarawak, rombongan terbabit turut mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah menengah di sini serta turut melawat ke Taman Negara Gunung Mulu.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Sukan merangkap Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Pemangku Pengarah MSN Sarawak Lucas Kalang Laeng dan Pengasas ‘Love Sarawak Club’ Kwon Young Gyu yang juga guru besar salah sebuah sekolah tinggi di Korea Selatan.

Advertisement