KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) mahu setiap guru Bahasa Inggeris memberi komitmen tinggi dalam mendidik bagi mengukuhkan penguasaan pelajar dalam subjek itu terutama di luar bandar.
Presidennya Ahmad Malie berkata, setiap guru harus lebih komited dalam meningkatkan penguasaan pelajar ekoran keputusan tidak memberangsangkan subjek itu pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini.
Untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Bahasa Inggeris menjadi subjek paling sukar lulus bagi pelajar dan dianggarkan seorang daripada empat pelajar gagal dalam subjek itu.
Tahun lepas menyaksikan paling ramai pelajar gagal dalam subjek itu dalam PMR dengan 24.1 peratus mencatat E daripada 37,361 pelajar.
Hanya 14.5 peratus pelajar di negeri ini mendapat A manakala tahun 2012 dengan 14.4 peratus.
“Kita tidak menafikan pencapaian pelajar dalam Bahasa Inggeris menurun dalam PMR tahun lepas tetapi kita tidak bersetuju dengan persepsi masyarakat yang menganggap kurang penguasaan guru menyebabkan prestasi seperti ini.
“KGBS percaya guru Bahasa Inggeris di sini (Sarawak) menjalankan tanggungjawab dengan baik tetapi faktor menyebabkan penurunan ini mungkin didorong kurang persediaan dan faktor emosi pelajar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, kelemahan dalam subjek Bahasa Inggeris bukan sahaja berlaku di Sarawak tetapi merupakan isu di seluruh negara.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Jisin Nyud pula berkata, kualiti pendidikan yang kurang juga penyumbang kepada kelemahan pelajar dalam Bahasa Inggeris.