Anda di sini

Kemas kini permohonan BR1M, masukkan nombor akaunnya

Advertisement

KUCHING: Orang ramai perlu segera mengemas kini permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan memasukkan nombor akaun bagi memudahkan proses penyaluran bantuan terse­but.

Pegawai Daerah Kuch­ing Mahri Sarpawi berkata, proses mengemas kini per­mohonan itu boleh dibuat menerusi laman web www.lhdn.gov.my atau datang sendiri ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat.

Bagaimanapun menurut­nya, pemohon yang tidak mempunyai akaun bank masih boleh menerima bantu­an itu menerusi proses manual seperti yang dijalankan sebe­lum ini.

“Saya menasihati orang ramai supaya mengemas kini permohonan BR1M dengan memasukkan nombor akaun sebelum 31 Januari.

“Ini penting untuk memu­dahkan proses penyaluran bantuan,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Tilawah Al-Quran Pering­kat Daerah Kuching di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, penyaluran bantuan menerusi akaun adalah proses lebih mudah dan ringkas tanpa pemohon perlu beratur panjang untuk mendapatkan baucar.

“Namun pusat pengagihan tetap diwujudkan dan orang ramai juga boleh mengambil baucar seperti sebelum ini dan kemudian menunaikan­ disela­nya (baucar) di bank yang dilantik,” ujarnya.

Menurutnya, bilangan penerima bantuan itu di Kuching dijangka bertam­bah kepada 200,000 kali ini.

“Sebelum ini dianggarkan kira-kira 180,000 penerima layak mendapatkan BR1M,” jelasnya.

Sementara itu, seramai tujuh qari dan tujuh qariah mengambil bahagian dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuching yang berlangsung pada 13 dan 14 Januari.

Advertisement