Anda di sini

Kaji SOP bagi hadkan penggunaan senjata api oleh penguat kuasa

Advertisement

KUCHING: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa agar kajian semula diadakan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengehadkan penggunaan bahan dan senjata api oleh anggota penguat kuasa.

Menurutnya, SOP pernah dilaksanakan sekitar 1970-an yang ketika itu hanya membenarkan pasukan Polis Hutan menggunakan senjata ketika melakukan tugas kawalan.

“Tetapi oleh kerana keganasan oleh pihak penjenayah pada tahun 1980-an maka pihak polis dibenarkan membawa senjata dan bagaimana SOP itu bertukar pada masa itu sehingga pegawai dibenarkan membawa senjata api ke rumah.

“Jadi perkara ini patut dikaji semula supaya apa yang berlaku dua hari yang lepas tidak berlaku lagi, supaya harta benda yang hilang ini dimasukkan ke dalam laporan audit awam kehilangan senjata.

“Jadi dalam keadaan sedemikian saya cukup yakin Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi, polis tidak akan berkompromikan kepada tindakan dispilin ini dan akan mengambil tindakan yang khusus.

“Bagaimanapun biarlah polis menyelidik semula dahulu semua kes ini daripada semua sudut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Bintawa Hilir semalam.

Beliau membuat penjelasan demikian ketika diminta mengulas kejadian pada 14 Januari lepas membabitkan dua anggota polis di ibu negara tertidur akibat mabuk alkohol di dalam kereta dan menyebabkan kecuaian melibatkan senjata api sewaktu bertugas.

Wan Junaidi berkata kedua-dua pegawai itu bakal diambil tindakan disiplin atau disabitkan kesalahan jenayah bergantung kepada budi bicara pihak tertinggi Pendakwa Raya atau IGP Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Itu tugas dan tanggungjawab polis, apabila polis membuat penyelidikan dan selidikan ada kesan kes-kes jenayah berlaku, polis akan mengambil tindakan atas persetujuan pihak Pendakwa Raya untuk menentukakan sama ada ciri undang-undang telah disalahi dan ahli jawatankuasa akan menentukan sama ada untuk dituduh di mahkamah atau tidak atas lasan kecuaian.

“Dan kalau tidak ada tuduhan di mahkamah pihak IGP akan mengambil tindakan yang mana kuasa dan cadangan IGP untuk mengambil tindakan dan selepas itu apabila IGP mengambil tindakan akan dilapor kepada Suruhanjaya Polis yang akan mengesahkan tindakan patut, kalau telah disahkan IGP kerana mereka mempunyai kuasa yang tertentu di bawah Suruhanjaya Polis untuk memotong gaji atau pangkat dan sebagainya.

“Jadi ini sudah keterlaluan, zaman ini semuanya keterlaluan, kita akan lihat bagaimana SOP mampu mengetatkan penggunaan senjata, penjagaan bahan api pada masa akan datang, “ jelasnya.

Ketika ditanya apakah ia disebabkan kelemahan daripada sudut disiplin, beliau menjawab: “Latihan disiplin yang dijalankan terhadap anggota baharu polis tidak harus dipersoalkan kerana kelemahan itu datangnya daripada anggota sendiri.

Pada majlis itu, Wan Junaidi mahu lebih ramai belia kampung berkenaan dan sekitarnya mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Advertisement