Anda di sini

Warga Indonesia dipenjara, tinggal lebih tempoh

Advertisement

SARIKEI: Seorang lelaki berbangsa Bugis, warganegara Indonesia, Ata Maluki, 34, semalam dijatuhkan hukuman penjara enam minggu kerana sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Mahkamah Seksyen Sibu memutuskan hukuman tersebut ke atas tertuduh setelah mendapati tertuduh tinggal lebih masa selama tiga hari di Sarawak semasa ditangkap.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Anbarasu Gobi terhadap tertuduh, Ata ditahan oleh sepasukan polis pada 1 Januari lalu, jam 3.20 petang di Jalan Kubu Lama, Sarikei.

Tertuduh ditahan ketika sedang merayau-rayau dalam keadaan yang mencurigakan.

Hasil siasatan yang dijalankan ke atas tertuduh, dia didapati masuk ke negara ini pada 29 November 2013 melalui Lubok Antu, Sri Aman secara seorang diri dan tidak pernah balik ke negara asalnya selepas itu.

Berikutan itu, Mahkamah mendapati tertuduh berada di negara ini melebihi tempoh Pas Lawatan Sosial yang bertentangan dengan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) Akta sama membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, tertuduh menjalani tempoh hukuman terbabit sebelum dihantar balik ke negara asalnya.

Advertisement