Anda di sini

Warden MPS tidak diberi latihan mencukupi

Advertisement

TELITI: Alan melihat kad warden yang ditunjukkan oleh Dara ketika lawatan ke Pusat Sehenti MBM semalam.

MIRI: Latihan seminggu yang diberikan kepada warden Miri Parking System (MPS)  masih tidak mencukupi untuk membenarkan mereka membuat pemeriksaan dan pengawasan kupon letak kereta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling berkata ia merupakan antara kelemahan yang harus diperbaiki oleh MPS sekiranya mahu memantapkan kualiti perkhidmatannya.

MPS Sdn Bhd merupakan syarikat kontraktor yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk  menguruskan lot-lot parkir milik MBM bermula tahun ini.

“Hari ini sudah 13 Januari. Sejak 2 Januari lalu, kami menerima banyak aduan.

“Aduan ini juga telah diluahkan di akhbar serta laman sosial.

“Antara aduan yang kami terima ialah notis kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh lima hingga sepuluh minit sedangkan tempoh untuk mengeluarkan notis ialah setengah jam (selepas tempoh tamat kupon).

“Daripada pemerhatian saya, warden tidak diberi latihan mencukupi oleh syarikat ini yang sekali gus  menyebabkan prestasi kerja yang lemah,” jelasnya.

Alan berpeluang menemui dua kakitangan MPS iaitu Dara John daripada Bahagian Operasi dan Chin Lee Yen daripada Bahagian Akaun untuk mendapat penjelasan ketika lawatan beliau ke Pusat Sehenti MBM semalam.

“Kami datang ke sini adalah kerana rakyat. Ini kerana mereka harus memberi penjelasan lanjut kepada rakyat. Terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan,” jelasnya.

MPS sekarang menggunakan khidmat seramai 123 warden warganegara tempatan yang berusia 20 tahun ke atas.

Mereka menjalani latihan lima hari dalam kelas serta dua hari secara praktikal di zon-zon parkir.

Setiap mereka juga memiliki kad pengenalan diri dan menggunakan jam tangan digital MPS ketika kerja pemeriksaan kupon.

Pemeriksaan dilakukan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Pemeriksaan juga dilakukan pada hari Jumaat bermula jam 8 hingga 11.45 pagi dan 2.15 hingga 5 petang.

Alan mencadangkan agar warden dan penyelia tidak mengenakan pakaian seragam yang sama untuk mengelak kekeliruan tugas oleh penduduk.

Beliau juga berharap agar sistem online segera dilaksanakan untuk memudahkan pengguna mendapatkan maklumat lanjut tentang MPS termasuk jenis kesalahan dan kadar bayaran dikenakan.

Dalam pada itu, Dara berkata sebarang aduan boleh dikemukakan terus kepada MPS di Pusat Sehenti pada waktu pejabat.

Mereka boleh menghubungi beliau di talian 085-418734 untuk aduan dan pertanyaan berhubung kompaun etak kereta.

“Kami berharap penduduk Miri tahu bahawa pengurusan sistem parkir di sini telah diswastakan.

“Saya juga mengingatkan mereka agar tidak menggunakan kupon terpakai serta tidak menggores tahun 2013.

“Ini kerana ada yang masih menggores tahun 2013 pada kupon mereka. Bila kami mengemukakan kompaun, mereka tidak gembira,” jelasnya.

Advertisement