Anda di sini

Umat Islam mesti bersatu dan amalkan ajaran Islam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini mesti bersatu menguatkan barisan dan mengukuhkan keimanan dengan mengamalkan ajaran Islam sebenar untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mengekalkan kemuliaan Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata umat Islam mestilah berusaha memiliki kekuatan iman dan takwa, ekonomi dan teknologi serta sosial dan politik untuk menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Usaha itu tentunya bukan sesuatu yang mustahil kerana Rasullullah s.a.w sendiri berjaya membimbing masyarakat jahiliah sehingga menjadi umat yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam sempena sambutan Maulidur Rasul 1435/2014 hari ini.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini timbul pelbagai kekeliruan mengenai Islam termasuk dalam hal-hal berkaitan akidah sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri.

Timbalan perdana menteri berkata resepi terbaik untuk mengatasi kekeliruan itu adalah dengan menjadikan wahyu yang diturunkan Allah menerusi Rasul-Nya sebagai panduan kerana ia menepati kehendak zaman walaupun diturunkan berkurun yang lalu.

Selaras dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’, Muhyiddin mengajak masyarakat Islam di negara ini bermuhasabah melihat sejauh mana umat Islam berpegang kepada ajaran Islam.

Katanya sambutan Maulidur Rasul adalah satu daripada cara umat Islam menunjukkan sanjungan serta kasih sayang terhadap perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW yang tidak pernah kenal erti penat, gentar jauh sekali dibelenggu rasa kecewa untuk mengembangkan Islam dalam keadaan serba kekurangan.

Pengorbanan Nabi Muhammad SAW telah berjaya membawa sinar Islam ke seluruh pelusuk alam. — Bernama

Advertisement