Anda di sini

Saingan Liga Sibu 2014 makin rancak

Advertisement

ABDUL HAJIS

SIBU: Liga Sibu 2014 akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Divisyen 1 dan Divisyen 2, kata Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SDFA), Abdul Hajis Abdullah.

Menurutnya, ini bagi membuka lebih banyak peluang kepada pasukan-pasukan baharu di sini untuk menyertai liga tersebut dalam usaha mencungkil ramai pemain baharu berbakat.

“SDFA akan membahagikan liga dalam dua divisyen iaitu Divisyen 1 untuk pasukan tahun lalu yang menduduki tangga pertama liga hingga kelapan, manakala empat pasukan lagi (tangga kesembilan hingga ke-12) akan jatuh ke Divisyen 2 bersama dengan pasukan baharu.

“Ia terbahagi kepada dua divisyen adalah untuk merancakkan lagi Liga Sibu 2014 serta menjadikannya antara liga yang berprestij di negeri ini,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, yuran penyertaan untuk Liga Sibu bagi Divisyen 1 adalah RM800 manakala Divisyen 2 ialah RM600.

Pasukan Liga Sibu yang diserapkan dalam Divisyen 1 ialah Nazario FC, Nafas Mukah FC, V8 FC, Kastam, TZ FC, Rimba Hijau, Exodust FC dan Rascom.

Empat lagi pasukan iaitu DD FC, Polis, Miskal FC dan Singgah Selalu akan turun ke Divisyen 2.

“Justeru, kita menjemput mana-mana pasukan baharu di Sibu supaya mengambil bahagian dalam liga ini kerana kita masih membuka penyertaan sehingga 31 Januari ini.

“Pasukan yang sedia ada juga dinasihatkan mengesahkan penyertaan mereka sama ada masih mahu mengambil bahagian dalam Liga Sibu 2014 untuk musim ini,” ujarnya.

Abdul Hajis berkata, pihaknya menetapkan 31 Januari ini sebagai tempoh akhir untuk proses pendaftaran pasukan baharu dan pendaftaran untuk pasukan yang sedia ada.

“Liga Sibu akan bermula pada Mac ini. Pendaftaran awal ini akan memudahkan kami menguruskan jadual perlawanan serta proses-proses lain,” katanya sambil menambah bahawa pasukan yang berminat boleh menghubungi SDFA.

Abdul Hajis memberitahu, sebelum sepak mula Liga Sibu 2014, pertandingan bola sepak 7-Sebelah akan dianjurkan oleh SDFA pada awal Mac ini sebagai pemanas badan untuk pasukan-pasukan yang menyertai Liga Sibu 2014.

Katanya, dengan mempunyai liga dua divisyen SDFA kemungkinan akan menggunakan dua venue iaitu di Padang Penjara dan Stadium Tun Zaidi.

“Semasa Liga Sibu 2014 dijalankan, kita juga menganjurkan Piala FA Sibu (sistem kalah mati) yang diadakan selang-seli dengan liga.

“Tujuan SDFA memperbanyakkan pertandingan bola sepak pada musim ini adalah untuk mencari bakat-bakat baharu bagi mewakili Sibu pada Piala Sarawak tahun ini,” katanya.

Advertisement