Anda di sini

Polis fokus banteras kecurian kenderaan

Advertisement

BINTULU: Polis memfokuskan terhadap pembanterasan jenayah kecurian kenderaan khususnya yang melibatkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang agak serius di sini.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat berkata kes jenayah kecurian kenderaan diklasifikasikan jenayah harta benda itu mencatat penurunan daripada 966 kes pada 2012 kepada 928 kes tahun lalu dan mencatat penurunan 0.85 peratus.

“Pada 2012, polis bahagian ini berjaya menyelesaikan 190 daripada 966  kes jenayah harta benda manakala pada 2013 sebanyak 266 daripada 928 kes dilaporkan dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Madang, jenayah kekerasan mencatat peningkatan sebanyak 12.88 peratus dengan 132 kes pada 2012 manakala 149 kes dilaporkan dari Januari hingga Disember tahun lalu.

Beliau menasihati semua pemilik kenderaan di bahagian ini agar sentiasa memastikan kenderaan mereka diparkirkan di tempat yang selamat dan tidak terlalu jauh meninggalkannya dalam urusan sama ada di pasar atau kawasan perumahan.

“Semua ini supaya senang mereka menjenguk kenderaan sekali-sekala bagi mengurangkan risiko kenderaan mereka dicuri.

“Sebaik-baiknya, pemilik kenderaan harus membuat kunci tambahan di setiap kenderaan masing-masing supaya menyukarkan atau melambatkan proses penjenayah mencuri atau membawa lari kenderaan mereka,” katanya.

Advertisement